JAINJ saman tiga pengikut Hizbut Tahrir

Tosrin (kanan) ketika sidang media berkenaan kebenaran solat fardu, solat Jumaat dan program pengimarahan di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru hari ini.
Tosrin (kanan) ketika sidang media berkenaan kebenaran solat fardu, solat Jumaat dan program pengimarahan di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sudah menghantar surat saman terhadap tiga pengikut fahaman Hizbut Tahrir termasuk ketuanya, Sallahuđin Mashkuri di Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, surat yang dihantar ke pejabat pergerakan itu meminta tiga pengikut fahaman berkenaan hadir dan memberi keterangan kepada JAIJ di Johor Bahru.

"Jika mereka tidak hadir kita akan berbincang dengan jabatan agama Islam di tempat mereka untuk mengambil tindakan lanjut.

"Surat itu dihantar antaranya berhubung dakwaan mereka terhadap pihak berkuasa agama di negeri ini dan siasatan yang perlu kita lakukan," katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

Turut hadir Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Noh Gadut dan Pengarah JAINJ, Md Rofiki Samsudin.

Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan pihaknya sudah mengenal pasti 45 individu yang terlibat dengan gerakan itu di negeri ini termasuk ketua mereka.

Tosrin berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklum balas daripada tiga pengikut fahaman tersebut dan itu merupakan surat kedua selepas surat pertama dihantar dua minggu lalu.

Dalam pada itu, Tosrin memberi jaminan kerajaan negeri akan memastikan gerakan Hizbut Tahrir tidak melebarkan pengaruh mereka di Johor yang ketika ini mempunyai markas di Skudai.

Artikel Berkaitan:

"JAINJ turut bekerjasama dengan polis untuk terus membanteras gerakan tersebut bagi memastikan mereka tidak melebarkan pengaruhnya.

"Bagi tujuan itu, JAINJ mengadakan pertemuan dengan polis untuk berbincang langkah yang boleh diambil bagi berhadapan dengan gerakan berkenaan," katanya.

Selain itu, Tosrin berkata, ketika ini pengikut kumpulan itu tidak aktif namun pemantauan akan terus dibuat dari masa ke masa.

Ditanya mengenai pengikut fahaman itu yang sering mengeluarkan kenyataan dalam media sosial terhadap pihak berkuasa agama di negeri ini, beliau berkata, pihaknya tidak akan membalas sebarang kenyataan mereka.

"Tindakan hanya akan diambil jika terdapat pergerakan ketara melibatkan Hizbut Tahrir seperti perhimpunan dan sebagainya.

"Dalam masa sama, penubuhan Briged Aswaja juga dibuat bertujuan untuk menentang ajaran Hizbut Tahrir atau yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.