Tiada gotong-royong memasak di pusat pemindahan

Zainuddin (dua dari kanan) memeriksa kelengkapan logistik APM di Kota Bharu hari ini yang akan digunakan dalam operasi sepanjang musim banjir nanti. Gambar kecil: Zainuddin
Zainuddin (dua dari kanan) memeriksa kelengkapan logistik APM di Kota Bharu hari ini yang akan digunakan dalam operasi sepanjang musim banjir nanti. Gambar kecil: Zainuddin
A
A
A

KOTA BHARU - Semua mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini akan dibekalkan makanan secara bungkus dan tidak lagi dimasak secara bergotong-royong di pusat berkenaan.

Setiausaha Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan, Zainuddin Hussin berkata, perkara berkenaan diputuskan dalam mesyuarat baru-baru ini sebagai langkah menangani risiko penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, penyediaan makanan secara bungkus itu diberikan sebanyak tiga kali sehari dan dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan dibantu petugas berkaitan.

“Bagi mengelak berhimpun secara beramai-ramai dan sebagai langkah berjaga-jaga daripada jangkitan Covid-19, kita putuskan kesemua makanan dibungkus dan tempoh makanan bungkus itu tidak melebihi empat jam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengikuti Taklimat Tinjauan Monsun Timur Laut 2020-2021 di pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Bharu di sini yang dikendalikan Pengarah Jabatan Meteorologi Kelantan, Rabiah Al Adawiah Zakaria.

Zainuddin yang juga Pengarah APM Kelantan berkata, kebersihan makanan sudah pasti menjadi keutamaan supaya tidak memudaratkan mangsa-mangsa banjir yang berada di PPS.

Sementara itu, Zainuddin berkata, beliau menjangkakan jumlah PPS pada kali ini akan meningkat dua kali ganda berikutan pengurangan mangsa di setiap penempatan dan juga bagi menjaga jarak antara keluarga.

“Sebagai contoh, biasanya setiap PPS memuatkan antara 300 hingga 500 orang. Kali ini mungkin dikurangkan separuh untuk elak kesesakan dan menjaga penjarakkan fizikal serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, mangsa yang dihantar ke PPS juga akan menjalani ujian suhu badan, manakala individu yang dipakaikan gelang merah jambu ditempatkan di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Kota Bharu, Institut Pendidikan Guru Pengkalan Chepa dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Pasir Mas.

Zainuddin juga mengakui proses menyelamat dan memindahkan mangsa juga berdepan dengan risiko kali ini, bagaimanapun beliau yakin kesemua 772 pegawai dan anggotanya sudah bersedia dari segi mental serta fizikal.

"Penduduk yang tinggal di sekitar lembangan Sungai Kelantan, Sungai Semerak dan Sungai Golok perlu berhati-hati dan peka dengan perkembangan cuaca semasa serta paras air," katanya.