X

Kindly register in order to view this article
!

Pahang, UiTM mula langkah kanan

Pahang memulakan kempen Liga Super dengan langkah kanan selepas menang bergaya 3-1 ke atas Kuala Lumpur.- Foto Pahang FA
A
A

JUARA Piala FA, Pahang memulakan kempen Liga Super dengan langkah kanan selepas menang bergaya 3-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam semalam.

Pada aksi berkenaan, pemain import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme muncul wira skuad Tok Gajah apabilameledak dua pada babak kedua perlawanan untuk memastikan pasukan pelawat meraih tiga mata sulung.

Pahang terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-23 menerusi percubaan di dalam kotak penalti oleh pemain muda Indonesia, Saddil Ramdani, sebelum Kuala Lumpur berjaya menyamakan kedudukan menerusi Afiq Ahmad Razali pada minit ke-48.

Dickson kembali meletakkan Pahang di depan pada minit ke-52 setelah beliau memanfaatkan hantaran Mohamadou Sumareh, sebelum mengesahkan kemenangan Pahang dengan gol ketiga pada masa kecederaan.

Dalam pada itu, naib juara Piala Malaysia, Terengganu FC (TFC) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 1-1 dengan PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pada perlawanan berkenaan, pelawat terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-65 menerusi tandukan pemain berdarah kacukan Malaysia-England, Nicholas Ryan Swirad sebelum pemain gantian, Abdul Malik Mat Ariff menyelamatkan maruah TFC menerusi gol penyamaan pada minit ke-88.

TFC sebelum ini berpeluang mendahului perlawanan pada minit ke-10 menerusi Khairul Izuan Rosli, namun gol tersebut tidak dikira kerana pemain berkenaan dikatakan berada pada kedudukan ofsaid sewaktu menjaringkan gol berkenaan.

Terdahulu, UiTM FC memulakan kempen Liga Premier langkah kanan apabila menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, petang semalam.

Pemain import dari Brunei, Adi Said muncul wira skuad 'The Lion Troops' apabila menjaringkan dua gol pada minit pertama dan minit ke-36, selain gol pemain import dari Senegal, Robert Waly Lopez pada minit ke-84.

PDRM meraih gol sagu hati menerusi sepakan penalti disempurnakan pemain import dari Korea Selatan, Lee Chang-hoon, pada penghujung babak perlawanan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!