SOP ketika perlawanan bola sepak sukar dipatuhi, kata Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Larangan penganjuran perlawanan bola sepak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tetap dikuatkuasakan selepas mengambil kira pelbagai aspek bagi mengelak penularan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti amalan prosedur operasi standard (SOP) sukar dipatuhi sepanjang perlawanan berkenaan.

“Amalan penjarakan sosial adalah mustahil dalam perlawanan bola sepak malah berlaku pertembungan dan bersentuhan di atas padang lebih-lebih lagi dalam keadaan berpeluh.

“Semestinya perlawanan bola sepak melibatkan beberapa negeri dan akan melibatkan pergerakan rentas negeri,” katanya dalam satu kenyataan di Faebook beliau hari ini.

Katanya, dalam soal ini, keselamatan dan nyawa pemain serta kru terlibat perlu diberi keutamaan.

“Di dalam bilik persalinan juga sukar dikawal SOP dan begitu juga sewaktu ke tempat perlawanan dengan bas. Pastinya persentuhan akan berlaku.

“Banyak bahayanya kepada pemain bola sepak itu sendiri dan juga kru-kru yang terlibat dalam perlawanan bola sepak,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan tangguh Piala Malaysia 2020 kekal

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau faham apabila timbul dakwaan ketidakadilan dalam kalangan penyokong bola sepak apabila perlawanan bola sepak dilarang sepanjang PKPB.

“Pak Long teliti pelbagai komen yang diutarakan warganet berkenaan penganjuran bola sepak. Perlawanan bola sepak ini bukanlah dibatalkan terus tetapi ditangguhkan sehingga tamat PKPB.

“Bukanlah Pak Long hendak melarang sebarang aktiviti sukan. Tidak. Pak Long faham ramai rakyat Malaysia meminati sukan dan menjadikan sukan bola sepak sebagai pilihan tontonan utama. Pak Long sendiri pun penyokong Pahang FA dan kekal setia menyokong Chelsea FC.

“Tetapi keputusan ini diambil bagi mengambil kira pelbagai aspek yang jelas untuk kebaikan bersama. Lagipun rakyat sudah dimaklumkan dalam PKPB, pertandingan berpasukan tidak dibenarkan. Sukan Malaysia juga dibatalkan secara sukarela. Fikirkan juga keselamatan dan nyawa pemain-pemain bola sepak kita,” katanya.

Pak Long teliti pelbagai komen yang diutarakan warganet berkenaan penganjuran bola sepak. Pak Long faham kemarahan...

Posted by Ismail Sabri Yaakob on Wednesday, November 11, 2020