Kerajaan perlu keluar bajet besar majukan ekonomi negara

Mohd Daud Bakar pada Wacana al-Quran: Landskap Ekonomi Normal Baharu yang diadakan di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam semalam. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohd Daud Bakar pada Wacana al-Quran: Landskap Ekonomi Normal Baharu yang diadakan di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam semalam. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengeluarkan bajet yang lebih besar sekiranya mahu memajukan ekonomi serta perniagaan di negara ini.

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, jika berdasarkan data, Turki ialah negara ketiga di dunia yang mengeluarkan bajet terbesar kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (PKS) mereka selepas Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Menurutnya, itu boleh dijadikan contoh yang jelas bahawa bajet yang besar amat diperlukan untuk mengembangkan perniagaan dan ekonomi.

"Bajet yang diperuntukkan tersebut juga seharusnya tidak mempunyai limitasi supaya boleh membangunkan idea termasuk untuk meningkatkan kemahiran atau melatih anak muda supaya mereka boleh menceburi bidang perniagaan.

"Perniagaan itu tunjang kepada ekonomi dan disebut dalam al-Quran sebagai kerjaya dunia yang 'evergreen' sehingga ke hari ini," katanya dalam Wacana al-Quran bertajuk Landskap Ekonomi Normal Baharu yang diadakan di Kumpulan Media Karangkraf di sini semalam.

Turut menjadi panelis Pengasas Kumpulan Brainy Bunch dan Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim manakala Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail bertindak selaku moderator serta qari jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan bacaan surah al-Balad dan surah berkaitan.

Dari kiri: Fazrul, Mohd Daud, Mohd Fadzil dan Ustaz Ahmad Tirmizi yang berdiskusi pada Wacana al-Quran: Landskap Ekonomi Normal Baharu yang diadakan di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam. - Foto ASRIL SWANDI SHUKOR
Dari kiri: Fazrul, Mohd Daud, Mohd Fadzil dan Ustaz Ahmad Tirmizi yang berdiskusi pada Wacana al-Quran: Landskap Ekonomi Normal Baharu yang diadakan di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam. - Foto ASRIL SWANDI SHUKOR

Sementara itu, Mohd Daud berkata, ketika ini pihak universiti dilihat masih belum nampak kepentingan untuk mendidik anak muda supaya berfikiran minda bekerja sendiri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jika anak-anak muda ini akan bekerja dengan orang lain sekalipun, mereka belum mempunyai pemikiran untuk memiliki kemahiran tambahan.

"Ketika ini, kemahiran tambahan itu mereka belum ada atau mungkin ada tapi belum nampak dalam pasaran.

"Jadi, pihak universiti terutama di zaman pandemik Covid-19 ini perlu menumpukan semula dan kena berani mengambil pendekatan untuk mengeluarkan graduan mempunyai ketrampilan atau dipanggil 'good citizen' serta yang boleh mencipta dan mencari kerja sendiri," katanya.

Mohd Daud berkata, selain itu umat Islam boleh mengkaji semula surah al-Quraisy dan menjadikan sebagai panduan kerana ia juga surah pencetus ekonomi amat penting.

"Terdapat ayat dalam surah berkenaan mengenai dua bidang ekonomi yang 'evergreen' yang sentiasa mekar, segar dan akan diperlukan manusia iaitu makanan (keselamatan makanan) dan keamanan," katanya.