'Dr Noor Hisham sudah buat yang terbaik'

Zulkifli sifatkan Dr Noor Hisham sudah melakukan yang terbaik dan bersesuaian dengan posisi sebagai Ketua Pengarah Kesihatan dalam memerangi pandemik Covid-19.
Zulkifli sifatkan Dr Noor Hisham sudah melakukan yang terbaik dan bersesuaian dengan posisi sebagai Ketua Pengarah Kesihatan dalam memerangi pandemik Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyokong kenyataan 'tidak timbul isu takut mati' yang dijawab oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam memerangi pandemik koronavirus (Covid-19).

Zulkifli berkata, Dr Noor Hisham telah melakukan yang terbaik dan bersesuaian dengan posisi sebagai Ketua Pengarah Kesihatan.

Menurutnya, jawapan Dr Noor Hisham terhadap dakwaan seorang ahli Parlimen mengenai isu takut mati itu sudah padat dan memadai.

"Ketua Pengarah Kesihatan adalah antara individu terpenting dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.

"Saya yakin, kita semua bersetuju bahawa beliau perlu kekal sihat, bersemangat dan terus berjuang bersama-sama semua barisan hadapan demi maslahah negara," katanya dalam hantaran di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak timbul isu takut mati, kata Dr Noor Hisham

Zulkifli turut berkongsi kisah sahabat Nabi SAW, Abu Ayyub al-Ansari apabila ada seorang pahlawan menawarkan diri untuk menyusup masuk bersendirian dalam pasukan tentera Rom walaupun bakal berdepan risiko dibunuh.

Mengulas lanjut beliau berkata, kita tidak akan berundur apabila melangkah berjuang menegakkan prinsip dan kebenaran terutama untuk keselamatan serta keamanan negara.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya, itulah semangat Ketua Pengarah Kesihatan, jua seluruh barisan hadapan. Tak ada apa-apa yang boleh mengganggu fokus kita dalam usaha ini. Justeru, tidak timbul isu 'takut mati'.

"Konsep kematian dalam Islam amat mudah. Kami yakin kematian akan menjengah bila-bila masa. Hanya ALLAH SWT yang hidup kekal dan tidak mati," ujarnya.

Tambah beliau, umat Islam tidak takut mati tetapi sentiasa digalakkan untuk mengingati mati.

Katanya, apa yang dirisaukan dan ditakutkan adalah amalan mencukupi sebagai bekalan bertemu Pencipta di akhirat.

"Kerana itulah Muslim yang sebenar, mewakafkan seluruh hidupnya untuk manfaat manusia lain," katanya.

Saya terdetik untuk mengulas ringkas kenyataan seorang Ahli Parlimen yang menyatakan Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham...

Posted by Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri on Wednesday, November 11, 2020