Tiga cedera letupan bom di kawasan perkuburan di Jeddah

Beberapa orang membantu seorang individu yang cedera akibat letupan bom di sebuah kawasan perkuburan di Jeddah semalam. - Foto Twitter/Clarencewoman
Beberapa orang membantu seorang individu yang cedera akibat letupan bom di sebuah kawasan perkuburan di Jeddah semalam. - Foto Twitter/Clarencewoman
A
A
A

JEDDAH - Tiga orang cedera apabila sebutir bom meletup di kawasan perkuburan bukan Islam pada majlis memperingati mangsa-mangsa yang terbunuh akibat Perang Dunia Pertama di Jeddah semalam.

Dalam majlis itu diplomat Perancis, Greece, Itali, Britain dan Amerika Syarikat hadir pada majlis berkenaan, menurut satu kenyataan daripada kedutaan negara-negara berkenaan sekali gus mengutuk letupan tersebut sebagai satu 'serangan pengecut'.

"Majlis tahunan bagi memperingati sempena tamatnya Perang Dunia Pertama di kawasan perkuburan bukan Islam di Jeddah dihadiri beberapa kakitangan konsulat termasuk dari Perancis menjadi sasaran serangan IED (bahan letupan diubah suai) pada pagi ini (semalam) yang menyebabkan beberapa orang cedera," kata Kementerian Luar Perancis.

Seorang saksi memberitahu, salah seorang tetamu panik dan badannya berlumuran darah dalam kejadian itu.

Ia berlaku ketika Presiden Perancis, Emmanuel Macron telah berusaha untuk meredakan kemarahan penduduk Islam berhubung penerbitan semula kartun Nabi Muhammad SAW yang dilakukan oleh majalah satira, Charlie Hebdo.

Seorang anggota polis Greece yang tinggal di Arab Saudi merupakan antara yang cedera, kata sumber diplomatik Greece kepada AFP.

Sementara itu, seorang rakyat Britain juga dipercayai cedera dalam kejadian berkenaan.

Seorang lagi anggota polis Arab Saudi mengalami kecederaan kecil, lapor stesen televisyen milik kerajaan negara itu, Al-Ekhbariya.

Artikel Berkaitan:

"Pihak keselamatan (Arab Saudi) akan melancarkan satu siasatan berhubung kejadian itu ketika berlakunya satu perkumpulan sejumlah pegawai konsul di Jeddah," menurut laporan akhbar tersebut.

Bom itu meletup sekali gus mencetuskan suasana panik ketika seorang pegawai konsul Perancis memberikan ucapan pada majlis itu, menurut seorang saksi, Nadia Chaaya.

"Pada akhir ucapan itu, kami mendengar satu letupan tetapi kami kemudian menyedari kami menjadi sasaran serangan," katanya.

"Kami berasa panik dan takut jika ada letupan kedua. Kami kemudian meninggalkan kawasan perkuburan," tambahnya.

Seorang lagi saksi, Mohammed Belmaziz berkata, beliau melihat muka seorang yang menghadiri majlis itu 'dipenuhi dengan darah'.

Jalan raya menuju ke kawasan perkuburan itu di tengah Jeddah itu disekat oleh polis trafik Arab Saudi, menurut seorang jurugambar di lokasi kejadian.

Serangan di kawasan perkuburan bukan Islam itu berlaku kurang sebulan selepas seorang pengawal di Pejabat Konsulat Perancis di Jeddah cedera akibat serangan seorang warga Arab Saudi.

Ia berlaku di tengah-tengah kemarahan umat Islam berhubung penyiaran semula kartun Nabi Muhammad SAW di Perancis.

Kepala seorang guru sejarah di sebuah sekolah di Perancis juga telah dipenggal oleh seorang remaja Muslim Chechen yang berusia 18 tahun pada bulan lalu kerana menggunakan kartun-kartun Nabi Muhammad SAW sebagai bahan pengajaran kepada pelajarnya.

Remaja itu kemudian mati ditembak polis. - Agensi