IWK ambil tindakan segera tangani pencemaran

IWK
IWK
A
A
A

KUALA LUMPUR - Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mengambil beberapa tindakan segera dalam menangani insiden pencemaran yang menyebabkan penutupan beberapa Loji Rawatan Air (LRA) semalam.

Menerusi satu kenyataan, IWK memaklumkan bahawa kakitangan bertugas telah mula mengesan kemasukan air sisa haram berkenaan ke tangki rawatan loji mereka pada 4 November lalu dan turut membuat laporan pada hari sama.

Pada masa sama, katanya, IWK turut menghentikan segera pelepasan efluen di loji tersebut bagi mengelakkan sebarang pencemaran ke saliran perairan.

“Seterusnya pada 5 November, pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan IWK juga melakukan rondaan dan mendapati dua premis berhampiran loji yang disyaki telah melepaskan cecair putih berunsurkan kosmetik serta cecair berwarna merah dipercayai digunakan dalam cetakan kertas warna keagamaan.

“Kedua-dua bahan yang ditemui tersebut mempunyai persamaan besar dengan air sisa haram yang telah dilepaskan ke dalam loji IWK di Taman Velox.

“Justeru dengan penemuan tersebut, IWK telah melakukan laporan polis di Balai Polis Rawang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bagi siasatan lanjut di bawah kesalahan jenayah alam sekitar pada hari yang sama,” kata kenyataan tersebut.

Semalam, empat LRA iaitu Sungai Selangor Fasa 1, 2,3 dan Rantau Panjang dihenti tugas susulan daripada insiden pencemaran bau.

Penutupan empat LRA berkenaan berlaku hanya dalam tempoh 24 jam selepas DUN Selangor meluluskan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Lembaga Urus Air sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, IWK berkata, pelbagai tindakan segera telah dilaksanakan; antaranya melakukan rawatan dengan menggunakan 'Catalyst Hydrogen Peroxide (CHP)' bagi meningkatkan proses rawatan biologikal serta pemantauan di loji sepanjang masa 24 jam.

“IWK sentiasa komited dan berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa dalam menangani isu-isu kemasukan air sisa haram ke dalam loji rawatan kumbahan dan berharap semua pihak turut membantu untuk mengenal pasti pelaku-pelaku jenayah alam sekitar ini,” katanya.