Riba punca umat Islam sukar berjaya dalam perniagaan

Mohd Fadzil - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohd Fadzil - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Solusi pinjaman riba yang masih diamalkan di negara ini menjadi punca utama mengapa orang Islam masih gagal dalam perniagaan diceburi.

Pengasas Kumpulan Brainy Bunch dan Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim berkata, ia jelas terbukti walaupun selepas 63 tahun Malaysia merdeka, rakyat khususnya umat Islam negara ini masih menggunakan pinjaman riba ini.

"Walaupun selepas 63 tahun merdeka, kita masih belum merdeka dari riba, masih tidak berjaya malah dari segi 'economy share' kita juga semakin teruk.

"Sebab itu saya lihat, jika hendak berjaya dalam perniagaan atau mencari peluang perniagaan baharu terutamanya dalam normal baharu ini, perkara pertama harus dilakukan ialah bertaubat terlebih dahulu.

"Apabila kita masih meneruskan riba bermakna kita masih berperang dengan ALLAH dan perkara ini dijelaskan secara spesifik dalam al-Quran" katanya pada Wacana al-Quran bertajuk Landskap Ekonomi Normal Baharu yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf, di sini, semalam.

Turut menjadi panelis Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail selaku moderator dan qari jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan bacaan surah al-Balad dan surah berkaitan.

Dari kiri, Fazrul, Mohd Daud, Mohd Fadzil dan Ustaz Ahmad Tirmizi yang memperdengarkan bacaan surah al-Balad dan surah berkaitan pada Wacana al-Quran bertajuk Landskap Ekonomi Normal Baharu yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf, di sini, semalam. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dari kiri, Fazrul, Mohd Daud, Mohd Fadzil dan Ustaz Ahmad Tirmizi yang memperdengarkan bacaan surah al-Balad dan surah berkaitan pada Wacana al-Quran bertajuk Landskap Ekonomi Normal Baharu yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf, di sini, semalam. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR

Mohd Fadzil berkata, setelah bertaubat, seseorang itu perlu mempunyai niat untuk keluar dari riba dalam kadar segera, malah beliau selaku pengasas Malakat Mall dan Brainy Bunch juga menyasarkan untuk keluar daripada amalan tersebut dalam tempoh setahun.

Artikel Berkaitan:

"Setelah kita pasang niat tersebut, barulah kita lihat model perniagaan bagaimanakah yang seseorang usahawan itu hendak lakukan dan ia haruslah berpandukan apa yang ALLAH dan Rasul suka.

"Kalau kita mahu melakukan perniagaan sendiri, perniagaan itu perlu dipastikan berada di landasan syariat dan rebutlah peluang untuk melakukan perniagaan contohnya yang berkaitan dengan makanan asas seperti beras," katanya.

Tambahnya, secara keseluruhannya Malaysia mengimport bahan mentah berjumlah RM50 bilion setahun dan bayangkan kalau negara atau usahawan tempatan boleh hasilkan bahan mentah sendiri.

Katanya, beliau melihat perkara itu sebagai peluang paling besar untuk usahawan tempatan fikirkan di samping negara juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada syarikat asing terutama dalam keperluan asas.

"Kami di Malakat Mall sedang memperkukuhkan Malakat Grocer malah turut menanam sayur-sayuran secara organik di 'roof top' pasar raya kami.

"Justeru amat penting untuk kita membina ekonomi Islam sendiri tanpa riba serta mempunyai 'market place' yang mungkin usahawan boleh fokus kepada penambahbaikan rantaian sistem pembekalan dalam keperluan asas dahulu," katanya.