Rakyat memilih hidup dalam aman damai

No Image Caption
A
A
A

PADA pertengahan September lalu, Bangkok bergegar apabila gerakan pro-demokrasi pimpinan anak muda Thailand turun ke jalanan.

Demonstrasi itu bertujuan mendesak Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha meletak jawatan dan menuntut reformasi monarki.

Tunjuk perasaan oleh golongan muda berlaku hampir setiap hari di Thailand sejak pertengahan Julai lalu bagi mendesak pengunduran Prayut, bekas ketua tentera yang mendalangi rampasan kuasa pada tahun 2014 dan rombakan menyeluruh pentadbirannya.

Ada sesetengah kumpulan turut mendesak reformasi terhadap monarki – perkara yang jarang disentuh di Thailand kerana undang-undang fitnah diraja yang tegas. Akta 112 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi setiap sabitan kesalahan berkaitan institusi diraja Thailand.

Bagaimanapun, sentimen yang berlaku di negara Gajah Putih itu nampaknya mendapat simpati dan perhatian beberapa pihak sehingga ada yang mengeluarkan kenyataan menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan keamanan, kita tidak seharusnya terjebak dengan perkara yang berlaku di negara jiran. Sejak dahulu hingga kini, Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan penting bagi memastikan kestabilan negara kekal terpelihara.

Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Negara.

Perlembagaan Persekutuan telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat sedemikian untuk membolehkan pelaksanaan sistem tersebut.

Artikel Berkaitan:

Salah satu kriteria sistem demokrasi berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga baha-gian dalam pemerintahan iaitu perundangan, kehakiman dan eksekutif.

Kuasa

Malaysia juga mengamalkan sistem demokrasi berasaskan kepada sistem Persekutuan.

Berdasarkan kepada peruntukan itu, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah telah bersetuju dengan konsep penubuhan negara Malaysia.

Setiap negeri yang terbabit telah menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing seperti kewangan, pertahanan, pelajaran, luar negara dan lain-lain lagi seperti yang telah tercatat dalam Perlembagaan Malaysia untuk ditadbir oleh kerajaan Pusat.

Terdapat beberapa perkara yang diletakkan di bawah kuasa negeri-negeri dan setiap negeri itu diberikan hak mentadbir perkara-perkara tersebut. Sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, maka diperuntukkan oleh Perlembagaan, institusi Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu di sembilan buah negeri dan Majlis Raja-Raja.

Raja-Raja Melayu diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan pentadbiran agama Islam di negeri masing-masing.

Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah-wilayah Persekutuan. Seri Paduka Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara.

Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas-tugas di bawah Perlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri dan jemaah menteri. Raja-raja pula menjadi ketua negeri dan menjalankan tugas mengikut nasihat menteri besar masing-masing.

Ketika negara berhadapan dengan krisis politik pada Februari dan awal November lalu telah membuktikan bahawa peranan yang dimainkan Yang di-Pertuan Agong sangat penting bagi menentukan kestabilan dalam negara.

Justeru, marilah kita merenung peribahasa Melayu yang mengatakan hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Ia bermaksud, walaupun kelebihan nampak di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi. Sungguhpun negara kita sering berhadapan dengan gelora politik yang sentiasa panas tetapi hakikatnya rakyat hidup dengan tenang dan damai.

Kita tidak perlukan sebarang bentuk demonstrasi dan kekacauan, dan mahu suasana itu terus kekal kerana keadaan tersebut lebih mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

*Junhairi Alyasa ialah Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian