Kerajaan Selangor jangan tuding jari isu pencemaran air: Noh

Noh (kiri) menyampaikan sumbangan Deepavali kepada penduduk di Kuil Ladang Mary di Bestari Jaya hari ini.
Noh (kiri) menyampaikan sumbangan Deepavali kepada penduduk di Kuil Ladang Mary di Bestari Jaya hari ini.
A
A
A

BESTARI JAYA - Kerajaan Selangor diingatkan supaya tidak menuding jari kepada mana-mana pihak berhubung isu pencemaran bau di Sungai Selangor sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini dihenti tugas semalam.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan negeri sepatutnya menyelesaikan isu pencemaran sungai dengan meningkatkan penguatkuasaan berterusan berbanding menyalahkan pihak lain termasuk dakwaan berlakunya unsur sabotaj.

“Biarlah polis siasat dan menahan mereka yang terlibat, tetapi persoalannya bagaimana individu berkenaan boleh ceroboh? Kerajaan negeri mesti ada langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan perkara sama daripada berulang,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian sumbangan Deepavali di Kuil Ladang Mary di sini hari ini.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang menegaskan, isu pencemaran air di Selangor bukan perkara baharu malah sudah berlarutan sejak tahun 2016.

“Pandangan saya, janganlah salahkan pihak lain dengan beri pelbagai alasan untuk menutup kelemahan pentadbiran sehingga rakyat sahaja yang nampak salah.

“Kalau pentadbiran kerajaan negeri kelam kabut, bagaimana hendak menjadikan Selangor sebuah negeri yang baik,” katanya.

Semalam, kerajaan negeri Selangor tidak menolak kemungkinan insiden pencemaran bau di Sungai Selangor sehingga menyebabkan empat LRA dihenti tugas adalah disebabkan perbuatan sabotaj.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, hasil pemeriksaan awal, pihaknya mendapati pencemaran itu berpunca dari loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK).

Artikel Berkaitan: