Inilah dunia baharu!

Telefon bimbit yang asalnya barang mewah bertukar menjadi keperluan wajib yang ‘lebih daripada wajib’ dan kecanggihannya juga sudah tidak mampu diekori.
Telefon bimbit yang asalnya barang mewah bertukar menjadi keperluan wajib yang ‘lebih daripada wajib’ dan kecanggihannya juga sudah tidak mampu diekori.
A
A
A

KETIKA telefon mudah alih pertama ATUR 450 diperkenalkan di Malaysia pada pertengahan 1980-an, ia mengundang pegun kepada ramai orang. Bukan hanya terpegun melihat telefon ‘luar biasa’ itu tetapi juga pada orang yang memilikinya. Hanya mereka yang betul-betul hebat, yang bukan biasa-biasa sahaja mampu menjinjingnya ke sana ke mari.

Telefon itu besar. Sekali pandang macam alat peledak bahan letupan di kuari pada era Wild Wild West. Seperti juga memandang orang awam bersama bateri kereta yang dibawa ke sana ke mari. Kali pertama memandangnya, saya yang masih budak-budak ketika itu, tidak berani masuk dekat.

Kemudian datang alat kelui. Istilah bahasa Inggerisnya, pager. Fungsinya hanya untuk memberitahu ada panggilan daripada sekian-sekian untuk kita. Kemudian, carilah telefon awam atau mana-mana telefon untuk membuat panggilan balik. Itu pun hanya kalangan tertentu mampu memilikinya. Selalunya jurujual kereta, insurans atau hartanah. Selalu juga keputusan empat digit terkini tercatat melalui pager.

Telefon awam juga mengalami evolusinya. Daripada menggunakan syiling dan perlu membuat panggilan menerusi operator bertukar kepada panggilan terus. Kemudian muncul kad prabayar yang menjadi alternatif kepada syiling.

Memasuki era 1990-an, perubahan terus berlaku. Pantas. Telefon-telefon bimbit atau disebut juga telefon genggam mula menguasai pasaran. Bermacam nama dan bentuk. Bermula dengan skrin tanpa warna sehingga menjelma menjadi berwarna-warni dengan resolusi yang tinggi. Daripada teknologi tekan kepada teknologi sentuh yang dilengkapi pula pelbagai aplikasi.

Dan telefon, yang asalnya barang mewah bertukar menjadi keperluan wajib yang ‘lebih daripada wajib’. Ia menjadi nadi kehidupan. Kecanggihannya sudah tidak mampu diekori.

Pantas bergerak ke hadapan. Ia menyebabkan ATUR 450, Motorola Startag, Nokia 3310, pondok telefon awam bukan sahaja tidak lagi kelihatan, malah dalam banyak keadaan tidak lagi dikenali. Nasibnya sama seperti televisyen hitam putih atau set televisyen bertingkap yang sekali pandang nampak macam almari baju. Orang tak kenal dan orang tak peduli.

Siapa yang masih ingat pada Kodak dan Fuji Film? Pada kamera SLR? DSLR mungkin masih ada tetapi peranannya semakin kurang. Diambil alih oleh kamera telefon yang kualiti gambarnya sehebat Leica, Nikon, Canon dan jenama kamera hebat lain pada masa dahulu.

Artikel Berkaitan:

Dalam kehidupan seharian, kita sudah lama meninggalkan dapur dan kayu api, malah ramai yang telah meninggalkan tong gas dan bergantung pada kuasa elektrik untuk urusan masak-memasak. Jika dahulu suratkhabar dan majalah lazimnya ada di kebanyakan rumah, sekarang ini ada orang – dan ramai – yang telah tidak menyentuhnya sejak bertahun-tahun. Buku pun sama. Mujurlah ada sekolah, kolej dan universiti. Jika tidak sukar dibayangkan apa akan terjadi.

Sendu

Di pedalaman dan kampung pinggir bandar suatu masa dahulu, bas dan teksi sapu menjadi sandaran utama. Sekarang ini kelibat pun sudah tiada. Teksi, yang suatu masa begitu perlu kini semakin kerap melalui hari-hari yang sendu. Tempatnya diambil alih oleh Grab, Maxim, Ezcab, MyCar dan banyak lagi penyedia perkhidmatan e-hailing.

Pada 10, 15 tahun dahulu, ibu bapa tidak senang duduk jika anak-anak asyik menghadap permainan komputer. Sekarang tidak lagi. Permainan komputer boleh dijadikan sumber pendapatan yang lumayan. Hadiah pertandingan mencecah jutaan ringgit, malah diiktiraf di persada sukan elektronik antarabangsa. Demikianlah berubahnya hidup kita. Sangat berubah berbanding tiga atau empat dekad dahulu.

Kemudian datang pandemik koronavirus (Covid-19). Hidup yang bergerak pantas tiba-tiba terhenti seketika. Dalam gelabah ada keliru. Dalam panik wujud celaru. Pandemik itu tidak mengambil masa yang lama untuk mengubah rentak dan corak kehidupan kita.

Tiba-tiba kita tidak boleh lagi bergerak dan bertindak sebebas dahulu. Tidak boleh lagi bersalam dan berjabat tangan. Tidak boleh duduk berdekatan. Tidak boleh berkenduri-kendara besar-besaran. Tidak boleh kunjung mengunjung sebebas dahulu. Malah, suatu peringkat tidak boleh ke masjid, surau atau rumah-rumah ibadat lain.

Normal baharu

Pandemik itu akan berlalu. Insya-ALLAH tetapi normal-normal baharu yang dibawa akan kekal bersama kita. Kalau tidak semua pun, sekurang-kurangnya sebahagian besar. Kebanyakan kita dengan sendirinya akan menjadi manusia yang sentiasa berwaspada.

Normal baharu mencakup segala cabang kehidupan. Pawagam, seperti yang saya tulis minggu lalu akan hilang pengunjungnya. Pertunjukan pentas, majlis makan malam, pub dan disko semuanya akan hidup bersama wajah yang berbeza. Pejabat, sekolah, pusat jagaan, aktiviti sukan dan pelbagai lagi turut tidak terkecuali.

Politik juga begitu tetapi saya melihat perubahan normal politik muncul lebih awal daripada pandemik Covid-19. Apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum-ke14 (PRU14) membawa banyak perubahan terhadap sikap, gaya dan tatacara berpolitik di Malaysia. Ia bukan disebab oleh sesiapa tetapi oleh proses semula jadi yang dipercepatkan oleh pengaruh media sosial dan platform-platform komunikasi moden lain-nya.

Covid-19 hanya melengkapkan proses perubahan itu. Maka, kita pun berhadapan dengan normal politik baharu yang lebih berbagai sifatnya. Tidak ada lagi basa-basi dalam berpolitik. Tiada lagi budaya menjaga hati. Tiada lagi mengenang budi. Zaman suara dari bawah habis di bawah atau ‘tersekat di tengah-tengah’ telah berlalu. Sekarang suara penggali perigi yang jauh di perut bumi pun boleh didengar oleh menteri atau mereka yang lebih atas daripada itu dalam sekelip mata.

Banyak yang dahulunya menjadi kebiasaan, malah kewajipan dalam berpolitik kini menjadi sebaliknya. Kenduri rakyat, rumah terbuka, rapat raksasa mungkin akan terus berkurang dan barangkali juga akan perlahan-lahan hilang ditelan oleh normal baharu. Turun padang, kempen bersemuka, ceramah terbuka, kalaupun masih ada tentulah dalam gaya dan sentuhan yang berbeza.

Polisi dan pola politik konvensyenal sebahagian besarnya tidak boleh lagi diguna pakai. Garis pemisah antara yang boleh dan yang tidak telah menjadi semakin tipis. Demikian juga antara yang salah dan yang betul. Jika dahulu pemimpin memimpin, sekarang ini pemimpin ‘dipimpin’. Kuasa mereka juga umumnya menjadi semakin kecil.

Yang besar kuasanya adalah netizen, orang-orang yang tidak kelihatan yang sebahagiannya mungkin hanya wujud pada nama – banyak nama pada batang tubuh yang sama!

Begitulah, sedar atau tidak sedang berhadapan dengan kehilangan hak-hak peribadi dan hak-hak semula jadi yang serius. Perubahan gaya hidup yang asalnya ditempah, ditambah dengan normal baharu yang datang bersama musibah secara berdikit-dikit sedang menjadikan kita seperti robot, kalaupun bukan menjadi badut!

Itulah kehidupan disruption @disrupsi. Perubahan kehidupan tanpa dijangka. Berubahnya teknologi, sistem politik dan wabak penyakit mengubah kehidupan kita. Inilah dunia baharu.