Inkues Nora Anne: Dua alasan ibu datang Malaysia

Nora Anne.
Nora Anne.
A
A
A

SEREMBAN - Hakikat bahawa bapa saudara Nora Anne Quoirin tinggal di Singapura dan kenalan bapanya mengesyorkan negara jiran Malaysia dan pusat peranginan The Dusun sebagai destinasi percutian yang berbaloi adalah faktor yang mendorong keluarganya memilih negara ini untuk percutian dua minggu mereka.

Ini didedahkan kepada Mahkamah Koroner di sini hari ini oleh ibu remaja perempuan warga Ireland-Perancis itu, Meabh Jaseprine Quoirin yang juga menambah bahawa beliau mempunyai kerja yang perlu dilakukan di republik berkenaan.

Meabh berkata, Malaysia telah dicadangkan oleh rakan suaminya yang pernah melawat negara ini.

“Rakan suami dan keluarga bercuti dengan anak-anak kecil di Malaysia, malah mereka mengesyorkan The Dusun kepada kami,” kata ibu anak tiga itu.

Meabh yang merupakan saksi ke-35 pada prosiding inkues untuk menentukan punca kematian Nora Anne memberikan keterangannya di hadapan Koroner Maimoonah Aid yang memasuki hari ke-15 hari ini.

Prosiding hari ini dijalankan melalui penstriman dalam talian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ditanya oleh peguamnya, Louise Azmi mengenai rancangan keluarganya bercuti di Malaysia, beliau berkata, mereka bercadang menetap tiga malam di The Dusun, diikuti dua malam di Kuala Lumpur dan dua hari lagi di Georgetown, Pulau Pinang dan percutian di pulau yang gagal diingati lokasinya, sebelum kembali ke Singapura untuk penginapan selama lima hari.

Meabh berkata, beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Ogos 2019 dari Singapura selepas terbang dari Sydney, Australia dan bertemu suaminya, Sebastian Marie Phillipe dan tiga anaknya - Nora Anne, Innes Julia dan Maurice Arthure yang menaiki penerbangan dari London.

Artikel Berkaitan:

Mereka kemudian meneruskan perjalanan ke resort The Dusun dan mendaftar masuk.

“Pada sebelah malam sekitar 10 malam, buat pertama kalinya saya perasan ada masalah dengan tingkap (Sora House). Saya cuba kunci tingkap dan pintu depan. Ada tiga tingkap di bahagian tepi chalet dan semuanya terbuka ketika itu.

“Saya sebenarnya tidak memberikan perhatian... kemudian apabila saya cuba untuk menutup tingkap, saya perasan tidak ada selak di tingkap jadi saya tidak dapat menutupnya dengan mudah. Saya terpaksa menggunakan kuku jari saya untuk merapatkan selongsong luar tingkap agar ia boleh ditutup. Saya terfikir untuk memaklumkan petugas resort pada keesokan harinya,” kata beliau.

Bagaimanapun, keesokan harinya antara 7 hingga 8 pagi, Meabh berkata, keluarganya menyedari Nora telah hilang dan mereka mula mencarinya di sekitar kawasan resort itu.

“Apabila kami kembali ke chalet selepas mencari Nora, saya perasan tingkap terbuka dan terus tertekan...dan perkara pertama yang datang dalam fikiran saya, Nora telah diambil,” kata Meabh.

Beliau juga menegaskan adalah sukar bagi Nora Anne yang mempunyai ketidakupayaan untuk membuka tingkap dengan sendirinya dan percaya terdapat unsur jenayah dalam kehilangan remaja itu.

“Saya percaya elemen jenayah itu hilang semasa pencarian Nora Anne,” katanya sambil menyesali tindakan perlahan yang dilakukan oleh polis sebelum mayat itu ditemukan.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai di sini kira-kira 60km di selatan ibu negara.

Pada 13 Ogos 2019, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5km dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.

Prosiding itu bersambung esok dan dijangka bapa Nora Anne, Sebastian Marie Phillipe akan memberi keterangan. - Bernama