X

Kindly register in order to view this article
!

Hospital tak dapat tampung pesakit jika rekod empat digit sehari

(Gambar hiasan) Gambar kecil: Dr Noor Hisham Abdullah
A
A

PUTRAJAYA - Hospital dan fasiliti kesihatan di negara ini mungkin tidak dapat menampung jumlah pesakit Covid-19 jika kes harian berjumlah 1,755 setiap hari mengikut unjuran kadar nilai kebolehjangkitan (R-naught) (R0) 1.5 dalam tempoh 10 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya akan terus memperkasakan tindakan kesihatan awam bagi mengurangkan nilai kadar kebolehjangkitan itu kepada sekurang-kurangnya di bawah 1.0.

"Jika kita lihat sebelum ini negara mencatat empat digit kes Covid-19 iaitu pada 24 Oktober (1,240 kes), 4 November (1,032 kes) dan 6 November iaitu 1,755 kes.

"Bagaimanapun, selepas (tempoh) itu kita mencatatkan kes kurang daripada yang kita jangkakan (dengan kes kembali kepada tiga digit) dan jika kes semakin berkurang kita akan berupaya melandaikan lengkuk Covid-19," katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, tindakan kesihatan awam itu adalah pendekatan paling penting selain kerjasama semua pihak bagi memutuskan penularan rantaian Covid-19 dalam negara.

Selain tindakan kesihatan awam, beliau berkata, amalan semua langkah pencegahan juga adalah matlamat utama KKM dalam mengekang penularan wabak berkenaan.

"Kita perlu mencegahnya dan bukan mengawal ketika peringkat (virus) merebak," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, kawalan pergerakan rentas daerah dan negeri di Semenanjung perlu dipertingkatkan bagi memastikan penularan jangkitan Covid-19 dapat diputuskan.

Penularan jangkitan di Semenanjung dilihat membimbangkan kerana jumlah kes baharu contohnya di Lembah Klang serta Negeri Sembilan hari ini mencatatkan 427 kes melebihi kes di Sabah iaitu 259 kes.

“Tindakan proaktif perlu diambil untuk kekang Covid-19 dan semua pihak perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan untuk kita kawal jangkitan rentas negeri dan rentas daerah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa melakukan saringan serta aktiviti kesihatan awam lain di lapangan bagi mengesan jangkitan Covid-19 di satu-satu kawasan.

“Untuk kekang jangkitan, kita telah melaksanakan pelbagai tindakan contohnya mereka yang berada di zon merah tetapi kembali ke Kelantan perlu memakai wrist band serta kuarantin,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!