X

Kindly register in order to view this article
!

Nostalgia Tunku Azizah...

A
A

DETIK bersejarah Istiadat Pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al Sultan Abdullah, yang berlangsung baru-baru ini, bukan sahaja signifikan kepada empunya diri kedua-duanya, bahkan kepada seluruh rakyat Pahang.

Namun sesuatu yang lebih istimewa bagi Tunku Azizah apabila baginda menyaksikan pengisytiharan Tengku Mahkota Pahang untuk kali kedua dalam hidupnya.

Kali pertama pada 23 Oktober 1977, di Istana Abu Bakar, istana yang sama ketika baginda berumur 17 tahun.

Ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menjemput Tunku Azizah untuk menghadiri pengisytiharannya sebagai Tengku Mahkota.

"Al-Sultan Abdullah berusia 18 tahun pada masa itu dan apabila dijemput, saya datang ke sini untuk menyaksikan majlis tersebut.

"Baginda begitu sopan dan jujur ketika bertanyakan kepada ayah saya sama ada boleh menjemput saya ke majlis itu. Ayah saya memberinya izin," katanya.

Tunku Azizah berkata, tidak ramai yang tahu tentang kejadian ini, yang baginya amat nostalgik kerana baginda menyaksikan pengisytiharan yang sama di tempat yang sama selepas 42 tahun.

"Kini saya menyaksikan pula anak saya Tengku Hassanal menerima gelaran Tengku Mahkota Pahang, menggantikan ayahnya," katanya selepas majlis, Selasa lalu.

Anak sulung baginda, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dinamakan sebagai waris kepada takhta Pahang pada majlis itu.

Manakala, Tunku Azizah diisytiharkan sebagai Tengku Ampuan Pahang.

Satu lagi sentuhan penting pada majlis tersebut ialah mahkota Tunku Azizah, yang pernah dipakai oleh Tengku Ampuan Pahang sebelum ini.

Mahkota bertatahkan berlian itu kali terakhir dipakai Tengku Ampuan Afzan, yang merupakan isteri Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah dan ibu kepada Al Sultan Abdullah.

Baginda berkhidmat sebagai Raja Permaisuri Agong dari tahun 1979 hingga 1984 dan mangkat pada tahun 1988 dan gelaran Tengku Ampuan Pahang tidak digunakan sejak itu sehingga pengisytiharan Tunku Azizah.

Seperti Tengku Ampuan Afzan, Tunku Azizah akan memegang peranan Raja Permaisuri Agong setelah Sultan Abdullah mengangkat sumpah jawatannya sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lepas bagi tempoh lima tahun akan datang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!