Dulu buat kek, kini ukir kayu

Aini menunjukkan antara barangan kraf yang dihasilkannya di Dauza Craft di sini.
Aini menunjukkan antara barangan kraf yang dihasilkannya di Dauza Craft di sini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kesan pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda seluruh negara memaksa seorang ibu muda menukar bidang pekerjaan demi meneruskan kelangsungan hidup sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

Dahulunya bermain dengan tepung dan gula aising di dapur, namun kini Nurul Aini Mat Besar @ Alias, 31, sibuk mengukir kayu untuk memenuhi tempahan orang ramai.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu memberitahu, pada awalnya beliau hampir berputus asa apabila tempahan kek tidak lagi menjadi pilihan orang ramai ketika itu terutamanya kek perkahwinan.

Namun berkat kesabarannya pada Jun lalu, beliau diterima bekerja di Dauza Craft di Bunut Payong di sini.

Antara barangan kraf yang dihasilkan Aini mengikut tempahan yang dibuat pelanggannya di Dauza Craft.
Antara barangan kraf yang dihasilkan Aini mengikut tempahan yang dibuat pelanggannya di Dauza Craft.

"Pada mulanya saya tidak yakin untuk buat ukiran tersebut tapi akhirnya saya dapat melaksanakannya sebaik mungkin dengan sokongan suami (Mohd Zil Syazwan, 36) dan rakan-rakan sekerja.

"Bukan mudah, ukiran kayu ini memerlukan ketelitian dan fokus yang tajam. sekali kita tersilap langkah, memang kena buang bongkah kayu itu," katanya.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, beliau memerlukan paling minimum dua minit untuk menyiapkan setiap ukiran kayu tersebut dan paling lama ialah selama dua jam.

Artikel Berkaitan:

Harga yang dikenakan juga cukuplah berpatutan bermula serendah RM2 sehinggalah RM500 mengikut kraf yang dimahukan pelanggan.

Hiasan dinding, jam meja, penyangkut beg, bingkai gambar dan banyak lagi yang berjaya dihasilkan Aini dan semuanya akan dimuat naik ke laman sosialnya.

"Ada hikmah juga apa yang terjadi sebab sekarang ini kebanyakan pelanggan akan buat pesanan melalui laman-laman sosial Facebook, Instagram dan lain-lain.

"Kita sediakan pelbagai platform untuk mereka membeli barangan kraf saya buat. Alhamdulillah, pelanggan kebanyakannya dari seluruh Malaysia," katanya.

Walaupun nampak mudah dengan penggunaan mesin laser ukir, namun ketelitian sepanjang proses melaser adalah penting untuk mengelak berlakunya risiko kayu patah dah sebagainya.

Malah Aini juga perlu sentiasa menghasilkan rekaan atau corak terkini berpandukan beberapa laman sesawang yang selalu menjadi rujukannya.