Pencemaran air: Empat LRA kembali beroperasi

Pelan pemulihan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan kumpulan pertama merangkumi 599 kawasan dijangka menerima bekalan air sepenuhnya menjelang 3 petang esok.
Pelan pemulihan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan kumpulan pertama merangkumi 599 kawasan dijangka menerima bekalan air sepenuhnya menjelang 3 petang esok.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyaluran bekalan air bermula lebih awal daripada perancangan pada jam 1.45 tengah hari tadi susulan kelancaran aliran air bersih dalam sistem agihan selepas kesemua empat loji rawatan air di Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 kembali beroperasi pada 2.40 pagi hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman berkata, pelan pemulihan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan kumpulan pertama merangkumi 599 kawasan dijangka menerima bekalan air sepenuhnya menjelang 3 petang esok.

“Kumpulan kedua meliputi 680 kawasan akan pulih sepenuhnya menjelang 3 petang Jumaat (13 November),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bekalan air yang disalurkan itu telah merekodkan bacaan ujian kualiti 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan serta disahkan tidak berbau oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Katanya, Air Selangor juga akan terus membekalkan air bersih menerusi 111 tangki air yang digerakkan ke premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta kawasan kediaman.

Selain itu, bekalan air alternatif juga tersedia menerusi 14 paip air awam dan 17 Pusat Khidmat Setempat.

“Kami juga kesal dengan kekerapan kejadian pencemaran yang menyebabkan loji kami terpaksa ditutup dan secara langsung menjejaskan pengguna. Sehubungan itu, kami menyokong penuh usaha yang diambil pihak berkuasa dalam mencegah jenayah alam sekitar bagi mengelakkan sungai kita daripada dicemari.

“Kami percaya pihak berkuasa yang berkenaan telah menjalankan tugas mereka bagi menyelesaikan isu ini. Kami kekal komited bagi memastikan pengguna menerima bekalan air mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Air Selangor menasihati pengguna mendapatkan maklumat mengenai bekalan air menerusi saluran rasminya, iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman web www.airselangor.com. - Bernama