Hidup perlu berpusatkan realiti

A
A

KADANGKALA kita hairan, bagaimana seseorang itu sentiasa bertenaga dan bersemangat menjalani rutin harian sedangkan masih ramai yang lemah, tiada semangat serta hidup dengan penuh membosankan.

Bagi mereka yang bertenaga untuk hidup, mereka seperti tidak terkesan dengan pelbagai faktor luaran yang mempengaruhi mereka.

Manakala mereka yang lemah semangat untuk hidup, segala pengaruh luar sentiasa dijadikan neraca pertimbangan bagi setiap tindakan mereka. Justeru, adalah tidak pelik jika tindakan yang dilakukan oleh mereka bukan sahaja boleh memudaratkan diri sendiri, namun pada masa yang sama boleh memudaratkan orang lain juga.

Menurut ahli psikologi, terma berpusatkan realiti atau reality centered adalah sangat berlawanan dari segi konteksnya dengan terma berpusatkan masalah atau problem centered. Bagi mereka yang sikapnya cenderung ke arah berpusatkan masalah, segala hasil pemikiran mereka adalah lebih berorientasikan masalah berbanding dengan berorientasikan penyelesaian.

Ini bermakna, mereka sangat tidak terbuka dan sentiasa meletakkan halangan dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Malah, mereka juga begitu malas untuk berfikir serta menanggung risiko bagi mencari sesuatu jalan penyelesaian. Natijahnya, mereka yang berpusatkan masalah, bukan sahaja tidak membantunya untuk maju ke hadapan dalam jangka masa yang panjang malah umpama bom jangka yang boleh memusnahkan diri mereka sendiri pada bila-bila masa sahaja.

Bagi mereka yang berpusatkan realiti, penerimaan kendiri atau self-acceptance mereka adalah cukup tinggi. Ini bermakna, mereka boleh menerima hakikat bahawa; tidak semua orang suka pada kita, kawan hari ini pun boleh menjadi lawan pada masa akan datang, kita tidak akan sentiasa sihat dan kuat, malah kita pun boleh ditimpa musibah walaupun sejauh mana usaha kita untuk mengelaknya.

Selain itu, mereka yang berpusatkan realiti sentiasa menyedari bahawa untuk menjadi lebih hebat, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh, sanggup berkorban, tidak mengkhianati walaupun dikhianati serta mempunyai kesabaran yang tinggi dan sentiasa bersikap tenang. Persoalannya, mengapa masih ramai yang hidup tidak berpusatkan realiti walaupun mereka tahu betapa besarnya impak positif kepada mereka?

Sebetulnya, kita payah untuk menerima realti kerana masih terperosok dalam kepompong ‘Buta’ dan ‘Bersembunyi’. Kita ‘Buta’ kerana hanya orang lain yang nampak potensi dan kelebihan kepada diri kita, sebaliknya kita sendiri tidak tahu kelebihan yang ada pada diri sendiri. Malah kita seringkali begitu pasif, naif dan sentiasa pasrah dengan kehidupan serta tidak tahu bagaimana untuk menghargai diri sendiri.

Jika kita tidak ‘Buta’, sudah tentu kita boleh menerima sesuatu realiti dengan mudah. Apa yang menyedihkan, kita lebih sugul dan tidak bermaya berbanding dengan orang yang buta sebenar yang begitu positif dengan kehidupan mereka.

Bagi mereka yang berada dalam keaadaan ‘Bersembunyi’ pula, mereka lebih suka memendamkan bakat dan kelebihan mereka berbanding dengan berkongsi kepada masyarakat. Mereka cukup malu untuk menonjol dan lebih suka bermain dalam dunianya sendiri.

Apa yang nyata, kedua-dua sikap ini akan membudayakan psikologi negatif dalam kehidupan mereka di mana akhirnya begitu sukar untuk menerima realiti.

Justeru kita harus lebih terbuka untuk menerima kehidupan yang semasa. Jika kita sedang sakit, kita harus terima realiti bahawa kita sedang diuji dan harus berusaha untuk sembuhkan diri. Pun begitu, jika semakin mudarat, kita harus terima realiti bahawa noktah kehidupan kita akan berakhir tidak lama lagi.

Manakala jika kita difitnah dan dizalimi kita harus terima realiti bahawa kita sedang diuji seperti mana orang-orang sebelum ini. Namun realitinya, kebenaran tetap akan muncul walaupun lambat. Selain itu, jika kita melakukan dosa sebesar mana sekalipun, kita harus terima realiti bahawa ALLAH akan ampunkan kita sekiranya kita bertaubat. Oleh itu, janganlah lalai dan bertangguh.

Menurut Hadis Qudsi daripada Safwan bin Muhriz, dia berkata, “ketika Ibnu Umar sedang melakukan tawaf di Baitullah, tiba-tiba seorang lelaki menghampirinya dan bertanya, ‘Wahai Abu Abdurrahman, apa yang kamu dengar daripada Nabi SAW mengenai An-Najwa (bisikan ALLAH kepada kaum mukminin pada hari kiamat)?’.

Ibnu Umar menjawab, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Pada hari kiamat nanti, orang mukmin akan dihadapkan kepada ALLAH dengan sangat dekat sekali hingga ditempatkan dalam tirai-Nya. Kemudian ALLAH menyebutkan dosa-dosa orang itu. ALLAH bertanya, “Apakah kamu tahu dosamu?”. Orang mukmin itu menjawab, “Ya tuhanku, aku tahu dosaku,”.

ALLAH berfirman, “Sesungguhnya aku telah menyembunyikan untuk mu ketika di dunia dan pada hari ini, Aku telah mengampunkan kamu. Lalu orang mukmin itu diberikan catatan amal baiknya. Sementara orang-orang kafir dan munafik akan dipanggil dengan suara yang keras di hadapan semua makhluk, “Mereka inilah orang-orang yang telah mendustakan ALLAH’. (HR Muslim dan Ahmad).

Percayalah, kehidupan kita seperti pelangi yang hanya terbit setelah kita bersabar dengan musibah yang menimpa. Itulah realitinya.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.