Kita memerlukan rahmat ALLAH

A
A
A

SUDAH hampir setahun kita hidup bersama koronavirus (Covid-19). Tiada sesiapa pun menyangka tahun 2020 yang diharapkan membawa banyak perubahan positif kepada negara sebagaimana yang tercatat dalam Wawasan 2020 suatu ketika dahulu telah berpusing sebanyak 360 darjah.

Tahun 2020 tidak akan dilupakan dalam sejarah dunia. Seluruh dunia mengalami kesukaran, kedukaan dan kesakitan. Tiada negara yang ekonominya tidak merudum pada tahun 2020.

Semuanya kehendak ALLAH SWT. Di sebalik musibah, sudah pasti ada hikmahnya. Di sebalik ujian, sudah tentu ada sesuatu yang ALLAH ingin sampaikan kepada kita.

Sehebat mana pun manusia, sekuat mana pun manusia, secanggih mana pun peralatan yang dicipta manusia, masih gagal untuk melawan makhluk ciptaan ALLAH yang tidak nampak dengan mata kasar. Makhluk kecil itu sangat berbahaya kepada manusia.

ALLAH telah mengingatkan kita dalam al-Quran bahawa kita akan diuji dengan ketakutan, kelaparan, kekura-ngan harta, jiwa dan hasil tanaman. Ia sebagaimana firman ALLAH dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Begitulah ALLAH memberi peringatan kepada kita tentang kekuasaan-Nya. Dia boleh melakukan apa sahaja yang dikehendakinya. Perancangan ALLAH sentiasa mengatasi perancangan manusia, kerana itu kita perlu kembali kepada ALLAH. Tiada siapa yang boleh menundukkan makhluk bernama Covid-19 melainkan ALLAH. Kerana itu, kita perlu melakukan sesuatu yang mengundang rahmat ALLAH.

Saya tidak bertujuan mempertikaikan keputusan yang telah dibuat pihak berkuasa tetapi saya ingin mengajak kita berfikir dan merenung kembali, adakah wajar kita menjauhkan umat Islam daripada masjid dan surau kerana terlalu takutkan Covid-19? Sedangkan kita tahu bahawa ada keberkatannya apabila masjid dan surau itu dimakmurkan.

Sampai bila kita perlu menjauhkan mereka daripada masjid dan surau? Sampai bila ia harus ditutup kepada orang ramai? Malah, dalam keadaan orang ingin menunaikan solat yang hampir luput sekalipun, langsung tidak boleh dipertimbangkan pihak masjid.

Artikel Berkaitan:

Dalam Islam, kita diajar supaya bertawakal kepada ALLAH setelah segala usaha-usaha tertentu diambil. Segala prosedur operasi standard (SOP) memang sudah ada. Itu adalah usaha yang telah diambil untuk elak penularan wabak. Laksanakan SOP dengan baik tetapi janganlah ditutup masjid dan surau.

Jangan dihalang orang yang ingin 'menumpang’ solat dalam situasi waktu yang hampir luput. Di mana hilangnya keyakinan kita pada pertolongan ALLAH apabila kita menolong agama ALLAH?

Dengan menjauhkan umat Islam daripada masjid dan surau, saya bukan sahaja berasa bimbang akan menjauhkan lagi rahmat ALLAH tetapi saya juga bimbang anak yang sudah lama 'dididik’ tidak ke masjid atau surau akan menjadi satu kebiasaan baharu dalam dunia mereka sehingga bila-bila.

Bayangkan hampir setahun dibiasakan tidak ke masjid dan surau, apatah lagi untuk menunaikan solat Jumaat. Adakah kita akan berkata bahawa adalah mustahil kebiasaan baharu itu akan menjadikan anak-anak kita semakin malas dan culas ke masjid dan surau selepas ini?

Akhir kalam, kita sangat memerlukan rahmat ALLAH pada saat genting. Lakukanlah sesuatu yang mendatangkan rahmat ALLAH dan bukan yang mendatangkan kemurkaan-Nya. Jangan nanti program maksiat kita biarkan tetapi tempat yang ada keberkatan penuh dengan sekatan.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah