Keputusan tangguh Piala Malaysia 2020 kekal

Ismail Sabri pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan masih kekal dengan keputusan untuk menangguhkan kempen Piala Malaysia 2020 sebagai langkah pencegahan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu kekal bagi mengelak risiko penularan wabak itu dalam kalangan pemain dan pegawai pasukan walaupun Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya saingan itu diteruskan.

Bagaimanapun menurutnya, sekiranya penularan wabak itu dapat dikawal sebaiknya dalam tempoh dua atau tiga minggu akan datang, saingan bola sepak itu mungkin boleh diteruskan.

"Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara mendapati bahawa bahaya jangkitan boleh berlaku di dalam padang apabila ada sentuhan (ketika perlawanan) kerana sentuhan (antara pemain) memang tak dapat dielakkan.

“Keduanya, jumlah pemain dan petugas juga ramai misalnya ketika sesi latihan, mungkin mereka naik bas bersama, malah dalam bilik persalinan juga susah untuk kawal SOP (prosedur operasi standard),” katanya pada sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Katanya, saingan bola sepak tempatan itu berbeza dengan persembahan hiburan seperti dibandingkan sebahagian pihak berikutan SOP bagi persembahan hiburan lebih mudah dilaksanakan berbanding perlawanan bola sepak seperti Piala Malaysia.

"(SOP persembahan) hiburan seperti ini lebih mudah (dilakukan) sebab tiada penonton. Semua yang terlibat pakai pelitup muka, namun tidak mungkin pemain bola sepak nak pakai pelitup muka di atas padang,” katanya.

Semalam, MFL dilapor mengemukakan rayuan kepada MKN agar dapat mempertimbangkan semula keputusan menangguhkan kempen Piala Malaysia 2020.

Artikel Berkaitan:

Isnin lalu, Ismail Sabri memaklumkan mesyuarat MKN bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan supaya saingan Piala Malaysia ditangguhkan buat seketika. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Saingan Piala Malaysia wajar diteruskan

Tiada masalah patuhi SOP lebih ketat

Elok batalkan terus Piala Malaysia