PKPD di empat lokasi tamat hari ini

PKPD di Jalan Penjara melibatkan Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman Pulau Pinang ditamatkan hari ini.
PKPD di Jalan Penjara melibatkan Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman Pulau Pinang ditamatkan hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat kawasan termasuk Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman, Daerah Timur Laut di Pulau Pinang, ditamatkan hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah di Lahad Datu, Sabah yang sepatutnya tamat pada 23 November juga ditamatkan lebih awal bermula hari ini.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 1,178 saringan dan 189 kes positif Covid-19 direkodkan di kawasan penjara ini. Bagaimanapun, penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM mendapati situasi kes menunjukkan trend penurunan dan terkawal dengan kes terakhir positif ialah pada 5 November lepas.

"Atas nasihat dan penilaian risiko yang dilaksanakan KKM, sidang khas hari ini (semalam) bersetuju menamatkan PKPD di Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman Pulau Pinang pada hari ini (semalam) sebagaimana yang dijadualkan," katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Pelaksanaan PKPD di Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman bermula pada 15 Oktober hingga 28 Oktober lepas sebelum dilanjutkan sehingga 11 November.

Ismail Sabri pada sidang akhbar mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama
Ismail Sabri pada sidang akhbar mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama

Mengenai Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah di Lahad Datu, Ismail Sabri berkata, KKM mendapati tiada lagi kes positif Covid-19 baharu di kedua-dua lokaliti dalam tempoh 18 hari lepas.

Beliau berkata, pada 9 November lepas, kerajaan melanjutkan PKPD di kedua-dua kawasan sehingga 23 November ini atas nasihat dan penilaian KKM kerana masih menunggu keputusan sampel saringan yang belum diperoleh ketika itu.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, sehingga 10 November, KKM mendapati kesemua keputusan 5,189 sampel saringan kedua telah diperoleh dengan kesemuanya negatif, maka atas nasihat dan penilaian risiko yang dilakukan KKM, sidang khas hari ini (semalam) bersetuju untuk menamatkan PKPD di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata, PKPD di Medan 88, Salak Tinggi, Sepang di Selangor yang bermula semalam melibatkan sebanyak 88 rumah kedai, 284 premis dan 800 penduduk.

"PKPD ini juga membolehkan KKM terus melaksanakan saringan bersasar dan mengawal pergerakan individu bagi memutuskan penularan Covid-19 dalam komuniti.

"SOP PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Bagaimanapun, premis perniagaan bagi barangan keperluan asas dibenarkan beroperasi," katanya sambil menambah bahawa sehingga 5 November lepas, sebanyak 39 kes positif Covid-19 direkodkan di kawasan itu.

Ismail Sabri juga berkata, seramai 536 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kelmarin dengan 40 daripadanya kerana merentas negeri atau daerah PKPB tanpa kebenaran.

Beliau berkata, kesalahan lain termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (153), tidak memakai pelitup muka (134), premis gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan (107), premis beroperasi lebih masa (37), aktiviti pusat hiburan (lapan) dan lain-lain (57).

Ismail Sabri berkata, sejumlah 527 individu dikompaun, lapan direman manakala seorang dijamin.

"Semalam (kelmarin), Ops Benteng pula berjaya menahan 31 pendatang asing tanpa izin dan lima penyeludup serta berjaya merampas enam kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara.

"Orang ramai diminta menghubungi hotline National Task Force di talian 011-62511223 untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan pendatang tanpa izin dan jenayah rentas sempadan," katanya. - Bernama