'DG takut mati' bukan kenyataan MP Bintulu: Shahidan

Shahidan Kassim
Shahidan Kassim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) mengenai Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika perbahasan di Dewan Rakyat hari ini bukanlah kenyataan peribadi beliau.

Sebaliknya, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, King Sing hanya menyuarakan kenyataan dari pihak lain yang disampaikan kepadanya dan ia sama sekali tidak menggambarkan ahli Parlimen itu merendahkan pegawai kerajaan yang sedang berjuang memerangi koronavirus (Covid-19) di negara ini.

"Kenyataan itu bukan dia kata, orang yang kata mengapa DG (Dr Noor Hisham) tidak turun padang, DG takut matikah? ia mungkin bahasa tempatan (Sarawak) yang mungkin tidak bermaksud begitu pun," katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen hari ini.

Terdahulu, suasana persidangan Dewan Rakyat kecoh apabila kenyataan “DG (Ketua Pengarah Kesihatan) takut mati” dikeluarkan King Sing pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021.

King Sing ketika membahaskan rang undang-undang itu mempersoalkan mengapa Dr Noor Hisham tidak turun padang untuk melihat sendiri situasi Covid-19 di lapangan, sebaliknya hanya membuat sidang media setiap hari melalui siaran langsung di televisyen.

Kenyataan itu menyebabkan RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit dan meminta Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said untuk tidak membenarkan King Sing 'menghentam' Ketua Pengarah Kesihatan dan mahu kenyataan itu ditarik balik.

Shahidan bagaimanapun menyifatkan tindakan Ahli Parlimen pembangkang itu sebagai mengambil kesempatan dan sebaliknya mendakwa tiada sebarang tindakan diambil ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah sewaktu Covid-19 mula melanda negara.

"Sebaliknya Menteri Pelancongan (pada masa itu), berkata Covid-19 ini tidak bahaya, pelancong China tidak bahaya, mereka (pelancong China) yang masuk ke Malaysia itu sihat, sedangkan pada masa itu Menteri Kesihatan dan DG (Dr Noor Hisham) pun ada di sebelah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shahidan, yang juga Ahli Parlimen Arau, sebaliknya menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih selepas itu memberi peranan penting kepada Menteri Kesihatan yang baharu (Datuk Seri Dr Adham Baba) dan Dr Noor Hisham untuk membantu kerajaan mengambil langkah membendung Covid-19 sehinggalah pandemik itu dapat dikawal.

Katanya, PH sepatutnya menyokong apa yang dilakukan oleh PN, bukan mengambil kesempatan memanipulasi kenyataan sehingga seolah-olah menunjukkan ahli Parlimen kerajaan merendah-rendahkan pegawai kerajaan. - Bernama