X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih RM1 juta peruntukan awal pembangunan Kampung Baru

A
A

KUALA LUMPUR - Program Pembangunan Semula Kampung Baru akan diteruskan dengan peruntukan awal RM1,000,100 digunakan bagi menyediakan dan menaik taraf infrastruktur di kawasan berkenaan, termasuk pembinaan padang dan pusat rekreasi di Kampung Pindah di sini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, di bawah Peruntukan Pembangunan 2021 pula, lebih RM418.9 juta akan digunakan bagi meneruskan projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL), sewerage non-river dan baik pulih sungai.

Beliau berkata, projek-projek pembangunan itu memberi tumpuan kepada penambahbaikan saliran pembetungan sungai di Kuala Lumpur khusus bagi meningkatkan mutu kualiti air kepada kelas kedua, serta pelaksanaan kerja-kerja pengindahan tebing sungai.

"Pembangunan kawasan tebing sungai akan dapat memberi peningkatan kepada nilai hartanah di kawasan itu termasuklah mewujudkan peluang perniagaan kepada rakyat seperti pembinaan kiosk dan kafe di tepi Sungai Klang dan Sungai Gombak," katanya dalam satu kenyataan hari ini, yang khusus merujuk kepada Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat lepas.

"Kementerian amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberikan peruntukan lebih RM956.8 juta pada tahun 2021. Ini sekali gus memperlihatkan komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan untuk terus menyediakan infrastruktur berkualiti dan menyeluruh kepada rakyat dengan mengambil kira cabaran semasa dan keperluan masa depan," tambahnya.

Annuar berkata, lebih RM38.2 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi penyelenggaraan projek RoL bagi kerja-kerja pengindahan dan pembersihan sungai, operasi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu serta Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, peruntukan daripada belanjawan itu juga akan digunakan untuk projek pembangunan dan kerja membaik pulih jalan dan jambatan di Kuala Lumpur, serta projek kemudahan awam di Putrajaya dan Labuan antaranya tempat letak kereta dan lampu jalan.

Selain pembangunan, katanya lebih RM148.9 juta akan digunakan untuk program kemasyarakatan termasuk aspek motivasi, pendidikan,kesedaran pencegahan koronavirus (Covid-19) dan denggi, gaya hidup sihat, gotong-royong serta pemberian bantuan kebajikan rakyat miskin di ketiga-tiga wilayah. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!