RCEP ditandatangani Ahad ini

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia yakin bahawa Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang akan dimuktamadkan Ahad ini akan menjadi pemangkin bagi pemulihan ekonomi pasca-Covid-19.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perjanjian itu dapat membantu membuka pasaran baharu serta memantapkan rantaian bekalan serantau.

“Apabila perjanjian itu ditandatangani, ia memberikan isyarat positif kepada dunia bahawa Malaysia bersama negara-negara peserta RCEP (RPC) lain memilih untuk membuka pasaran. Perjanjian ini adalah selaras dengan pengumuman kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini untuk membantu membaik pulih sektor perniagaan di Malaysia.

"Saya menekankan bahawa perjanjian ini akan mempertingkatkan integrasi ekonomi serantau dengan kesan pengganda kepada ekonomi. Ini termasuk membuka peluang pasaran kepada hampir satu pertiga penduduk dunia yang akan membawa manfaat kepada peniaga dan pedagang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, RCEP merupakan satu perjanjian yang amat penting kepada Asean yang akan membuktikan kepada dunia bahawa usaha bersama Asean dalam memperkuatkan sistem perdagangan dunia pelbagai hala dan juga usaha untuk menegakkan agenda pembangunan di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

"Kejayaan memuktamadkan rundingan itu akan menjadi bukti kepada dunia bahawa Asean bersama-sama dengan rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Asean yang lain menolak langkah-langkah perdagangan bersifat perlindungan, sebaliknya menyokong perdagangan bebas dunia," katanya.

Menurutnya, ia adalah selaras dengan hasrat Kerangka Pemulihan Komprehensif Asean di bawah Strategi Memaksimumkan Kebolehpasaran Intra-Asean dan Integrasi Lebih Meluas.

“Pada masa yang mencabar ini, saya percaya betapa pentingnya untuk kita semua bertindak dalam solidariti dan secara kolektif untuk memastikan Kerangka Pemulihan Komprehensif Asean (ACRF) dilaksanakan dengan jayanya.

Artikel Berkaitan:

“Setelah hampir lapan tahun berunding dengan penuh keringat dan liku-liku mencabar, kita telah berjaya menghampiri ke garisan penamat untuk memeteraikan RCEP pada hari Ahad ini,” katanya.

Beliau berkata, perjanjian itu akan membuktikan kesatuan Asean dalam membentuk agenda perdagangan sedunia.

“Oleh yang demikian, ia adalah penting supaya kesemua RPC menyokong untuk membentuk Jawatankuasa Bersama Sementara RCEP bagi memastikan pelaksanaan perjanjian RCEP berjalan dengan lancar dan segera. Perjanjian itu akan menyeragamkan peraturan dan standard berkaitan perdagangan, termasuk langkah bukan tarif yang dapat membantu dalam perdagangan merentas sempadan dalam rantau ini.

“Kerajaan sudah menekankan kepentingan geo-strategik dan geo-ekonomi dalam mempertimbangkan kesan jangka panjang RCEP dalam konteks global,” katanya.

Katanya, kerajaan yakin bahawa secara keseluruhannya, RCEP dapat menarik lebih banyak pelaburan yang akan membawa manfaat kepada rantau ini. - Bernama