36 notis kepada pemilik premis makanan di Jelebu

S Veerapan
S Veerapan
A
A
A

JELEBU - Sebanyak 36 notis dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan terhadap pemilik premis makanan di daerah Jelebu dalam Operasi Premis Makanan Bersih, kelmarin.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, kesemua premis berkenaan diberi notis mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 melibatkan nilai keseluruhan RM9,200.

"Operasi Premis Makanan Bersih pada kali ini tertumpu di sekitar kawasan Pekan Kuala Klawang, sepanjang Jalan Ladang Jelebu Pekan Petaling dan Simpang Pertang.

"Daripada 38 premis makanan yang diperiksa, sebuah daripadanya diarah tutup sementara dalam tempoh 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, antara kesalahan yang dilakukan seperti pemilik tidak mendaftarkan premis makanan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), tiada sijil pengendali makanan dan tiada suntikan anti-typhoid.

Beliau turut menasihatkan pemilik serta pengendali makanan mematuhi aspek-aspek perundangan yang terdapat dalam Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

"Orang awam juga perlu pilih premis dan pengendali makanan yang bersih serta sentiasa mengamalkan amalan lihat, hidu dan rasa bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan," katanya.

Artikel Berkaitan: