Ini bukan populis, ini strategi ekonomi: Najib

Tangkap layar di Facebook Najib Razak hari ini.
Tangkap layar di Facebook Najib Razak hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertahankan cadangannya bagi memasukkan pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) sebanyak RM10,000 dan lanjutan moratorium dalam Belanjawan 2021.

Beliau berkata, cadangan tersebut bukanlah sebuah langkah populis tetapi sebaliknya ia merupakan sebuah strategi ekonomi bagi merancakkan ekonomi negara yang sedang berhadapan dengan impak negatif ekoran daripada krisis wabak Koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, kedua-dua langkah tersebut merupakan cara terbaik yang boleh dilakukan untuk menambah dana ke dalam kitaran ekonomi negara dan seterusnya merancakkan ekonomi tanpa memberi impak kepada saiz belanjawan dan defisit negara.

“Di samping itu. Ia juga mampu memberi sedikit ruang kelegaan kepada mereka yang paling terdesak.

“Ini bukan populis. Ini strategi ekonomi,” katanya menerusi satu hantaran Facebook beliau hari ini.

Menjelaskan mengenai cara praktikal yang boleh dilakukan bagi membolehkan kemudahan pengeluaran akaun tersebut, Najib berkata, perkara tersebut boleh direalisasikan dengan cara membenarkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membeli bon kerajaan yang dimiliki oleh KWSP.

ARTIKEL BERKAITAN Najib terus gesa kerajaan benarkan pengeluaran KWSP

Beliau berkata, bon merupakan kelas aset kewangan yang mudah dicairkan kerana ia mempunyai nilai dan juga memiliki pasarannya sendiri.

“Jika empat juta pencarum (seperti jumlah yang pohon skim i-Lestari) mengeluarkan jumlah maksimum RM10,000 dari akaun satu, ia adalah RM40 bilion.

Artikel Berkaitan:

“Hampir separuh pegangan aset KWSP sebanyak RM940 bilion atau sekitar RM470 bilion adalah dalam bentuk bon kerajaan dan bon swasta.

“Saya cadang BNM terus membeli bon kerajaan bernilai RM40 bilion yang dipegang KWSP supaya ia tidak memberi impak mengejut kepada pasaran bon tempatan supaya KWSP ada aliran tunai untuk membayar mereka yang mohon pengeluaran RM10,000 itu,” katanya.

Tambah beliau, perkara berkenaan merupakan langkah yang dibenarkan di bawah undang-undang negara seperti yang termaktub dalam mandat BNM.

Pada masa sama, Najib turut memberikan beberapa langkah yang boleh dilakukan oleh KWSP dalam usaha memulihkan simpanannya setelah negara pulih daripada Covid-19.

Beliau berkata, antara langkah yang disarankan adalah melalui pemberian projek lumayan oleh pihak kerajaan kepada KWSP, menaikkan semula kadar caruman KWSP bagi majikan dan pekerja serta mengkaji semula struktur bayaran dividen di mana mereka yang mempunyai baki simpanan lebih rendah akan dibayar kadar dividen lebih tinggi.

Kelmarin, Najib ketika berbahas di Dewan Rakyat menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) bersedia menyokong Belanjawan 2021 yang dibentangkan berjumlah RM322.5 bilion secara bersyarat.

Menurutnya, sokongan terhadap Belanjawan 2021 akan diberikan sekiranya kerajaan sedia meluluskan gesaan pelaksanaan moratorium secara pukal dan pengeluaran one-off RM10,000 daripada akaun satu KWSP.