Pengusaha restoran lega SOP PKPB dilonggarkan

Pekerja di sebuah restoran di Putatan melakukan kerja pembersihan premis sebelum beroperasi esok.
Pekerja di sebuah restoran di Putatan melakukan kerja pembersihan premis sebelum beroperasi esok.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengumuman kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedang dikuat kuasa di seluruh Sabah disambut baik oleh pengusaha beberapa sektor ekonomi di sekitar pusat bandar raya ini.

Tinjauan Sinar Harian hari ini mendapati, kebanyakan pengusaha restoran menarik nafas lega apabila mereka dibenarkan beroperasi dengan membenarkan pelanggan makan di premis serta tempoh operasi dilanjutkan sehingga jam 10 malam.

Menurut seorang pengusaha restoran, Jamiah Taman, 57, sebaik mengetahui SOP PKPB dilonggarkan beliau segera membuka restoran hari ini dengan membenarkan pelanggan makan di premisnya.

Jamiah Taman
Jamiah Taman

"Bagus juga dibenarkan beroperasi semula di premis kerana kami perlu menanggung pelbagai kos seperti sewa kedai dan jika dibuka hanya untuk bungkus saja dan tempoh beroperasi yang singkat, ia tidak mencukupi untuk kami tanggung kos lain seperti gaji pekerja dan sebagainya.

"Jadi sebaik saja dibenarkan beroperasi di premis, hari ini kami mula benarkan pelanggan makan di kedai tetapi dengan mengikut SOP yang ditetapkan seperti memastikan penjarakkan fizikal perlu dipatuhi pelanggan dan sebagainya," katanya ketika ditemui di Restoran Rendang Oma di Harbour City di sini.

Aida bersama suaminya mengambil peluang hari cuti mereka untuk makan di restoran di Harbour City, Kota Kinabalu.
Aida bersama suaminya mengambil peluang hari cuti mereka untuk makan di restoran di Harbour City, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, perkara itu turut dimaklumkan di media sosial sejak semalam supaya orang ramai tahu akan SOP yang baharu bahawa sudah dibenarkan makan di dalam restoran.

Artikel Berkaitan:

"Ini supaya orang ramai yang masih keliru dengan SOP PKPB akan mendapat maklumat yang betul dan mereka tidak ragu-ragu untuk berkunjung ke restoran kami kerana mungkin ada yang bimbang akan dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Aida Ag Saman, 33, berkata, dia mengetahui bahawa orang ramai sudah dibenarkan makan di restoran selepas melihat maklumat itu di laman Facebook Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah.

"Sebaik mengetahuinya semalam, hari ini saya dan suami mengambil peluang untuk keluar makan di restoran," katanya.

Seorang lagi pengusaha restoran di Putatan, Raja Mohd, 43, memaklumkan akan membuka semula restorannya esok selepas kerja pembersihan di dalam premis selesai hari ini.

"Hari ini, restoran belum buka lagi kerana mahu membersihkan semua peralatan di restoran termasuk meja dan kerusi sebelum membenarkan orang ramai makan di dalam kedai," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di stesen bas henti-henti juga mendapati beberapa pengusaha bas sudah mulai beroperasi seawal jam 6 pagi tadi.

Christ menunggu penumpang menaiki bas henti-henti di stesen bas di Kota Kinabalu.
Christ menunggu penumpang menaiki bas henti-henti di stesen bas di Kota Kinabalu.

Menurut pemandu bas henti-henti, Christ J, 44, dengan kebenaran beroperasi semula, sekurang-kurangnya mereka dapat menampung kehidupan selepas terjejas teruk sejak PKPB dilaksanakan sebulan lalu.

"Mujur selepas dilanjutkan PKPB baru-baru ini, SOP dilonggarkan sedikit dengan membenarkan perkhidmatan bas henti-henti beroperasi sekali gus membantu kami meneruskan kehidupan mencari rezeki yang terjejas.

"Dalam masa yang sama, kami dapat membantu orang ramai yang kurang berkemampuan menggunakan perkhidmatan bas yang tambangnya lebih murah berbanding perkhidmatan e-hailing," katanya.

Bagaimanapun, Christ berkata, penumpang dilihat masih kurang berikutan ketika ini masih ramai orang bekerja dari rumah.

"Kebanyakan penumpang adalah mereka yang bekerja di pasar raya dan memandangkan kita masih dalam tempoh PKPB, orang ramai sudah pasti tidak keluar jika tiada urusan di luar kecuali hanya mahu ke pasar.

"Jadi penumpang bas setakat ini masih kurang, tetapi diharap minggu seterusnya semuanya akan kembali seperti biasa," katanya.