Kawal jumlah pekerja dalam asrama

Aminuddin (kiri) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di Seremban semalam.
Aminuddin (kiri) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di Seremban semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Syarikat pengilangan disaran mengurangkan bilangan pekerja asing yang tinggal di asrama atau rumah yang dijadikan tempat tinggal pekerja bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan pihak syarikat atau kilang supaya dapat menambah baik perkara itu terutama di kawasan yang mempunyai kes Covid-19.

"Kita tidak nafikan banyak kes di Negeri Sembilan melibatkan syarikat yang mempunyai pekerja asing yang ramai yang mana mereka ini tinggal di satu rumah.

"Hari ini kita telah berbincang bahawa perlu ada selepas ini satu kawalan dan bilangan mereka yang menghuni dalam satu rumah dijadikan asrama. Kita tidak mahu terlalu ramai yang bilangannya tidak terkawal," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Aminuddin berkata, pemilihan lokasi rumah atau tempat yang mahu dijadikan asrama perlu diberi perhatian supaya tidak mendatangkan masalah kepada penduduk tempatan.

Menurutnya, sekiranya ada pekerja yang perlu menjalani kuarantin di asrama atau tempat tinggal mereka, ia perlulah diminimumkan atau sebahagiannya dikuarantin di luar yang kosnya perlu ditanggung majikan.

"Itu yang kita bagi pilihan kepada majikan. Kalau dapat kurangkan jumlah yang tinggal dalam rumah atau asrama pekerja ia jadi lebih mudah untuk kita kawal kawasan itu.

"Sebagai contoh, jika dalam rumah ada 20 orang, kita minta 10 orang lagi kuarantin di luar yang kosnya ditanggung syarikat. Itu yang kita tengah berbincang dengan pihak pengurusan syarikat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, sektor pelancongan di negeri ini terutama di Port Dickson terjejas semula selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, beliau berharap peruntukan lebih RM100 juta untuk industri pelancongan yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2021 lalu dapat membantu memulihkan industri terbabit terutama sektor perhotelan.