Venue Sukma dijamin tidak jadi projek gajah putih

ONN HAFIZ
ONN HAFIZ
A
A
A

KERAJAAN negeri Johor memberi jaminan venue Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 tidak akan menjadi gajah putih berikutan kejohanan dwitahunan itu dianjakkan kepada tahun 2022.

Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kesemua 39 venue termasuk 11 venue baharu itu akan dibuka untuk kegunaan orang ramai terutama atlet di negeri ini.

Menurutnya, 11 venue baharu terbabit ialah Arena Emas, Kompleks Sukan Kanu Pagoh, Arena Larkin, Pusat Pelayaran Kramsau Desaru dan Kompleks Sukan Johor.

"Saya jamin kesemua venue termasuk 11 venue baharu itu tidak akan menjadi gajah putih. Di peringkat sekreteriat Sukma Johor dan Majlis Sukan Negeri Johor ( MSNJ), perbincangan mengenai venue telah diadakan.

"Aktiviti akan diadakan di venue-venue supaya atlet dan rakyat Johor dapat menggunakannya," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad di Iskandar Puteri, Johor Bahru hari ini.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor, Mohd Gadaffie Abd Aziz.

Sementara itu, Onn berkata, kerajaan negeri Johor bercadang untuk memberikan imbuhan kepada kira-kira 984 atlet, jurulatih dan pegawai-pegawai sukan sebagai penghargaan, motivasi dan suntikan semangat berikutan temasya itu ditangguhkan.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan bahawa Sukma Johor 2020 yang sepatutnya diadakan pada April tahun depan dibatalkan akibat ketidaktentuan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang telah memasuki gelombang ketiga di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 berikutan negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Sebelum ini, Sukma yang sepatutnya berlangsung pada Julai lepas telah ditangguh pada 6 hingga 14 Mac 2021 kerana Covid-19, dan dijadualkan semula pada 2 hingga 10 April 2021.