21 pasukan penuhi syarat pembentukan FC

REEZAL MERICAN
REEZAL MERICAN
A
A
A

SEBANYAK 21 pasukan sehingga kini berjaya memenuhi syarat pembentukan kelab bola sepak atau FC bagi menggantikan pasukan yang dibentuk oleh persatuan bola sepak negeri sebelum ini, untuk beraksi dalam saingan Liga Super dan Liga Premier 2021.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, proses penswastaan kelab itu dilihat sebagai usaha pemisahan daripada sudut tanggungjawab, skop dan peranan yang ketara antara persatuan bola sepak (FA) dengan FC.

"Persatuan bola sepak atau FA memainkan peranan sebagai badan pengawal bola sepak yang menjurus ke arah pembangunan bakat akar umbi, tadbir urus dan pengurusan pertandingan tempatan.

"Sementara kelab bola sepak menjurus kepada pengurusan pasukan bagi menyertai pertandingan profesional dan elit," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Reezal Merican berkata demikian bagi menjawab soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) yang meminta beliau menyatakan perkembangan dan prospek kejayaan penswastaan Liga Malaysia (Liga-M).

Berhubung penswastaan Liga-M, Reezal Merican menjelaskan keputusan itu dilihat sebagai satu kejayaan melalui nilai komersial yang meningkat secara mendadak untuk saingan dalam liga berkenaan seperti Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan Piala Malaysia.

Beliau berkata, proses bidaan turut dilakukan untuk menentukan syarikat yang akan menjadi penaja utama, rakan komersial, rakan penyiaran dan sebagainya bagi Liga-M.

"Antara syarikat yang pernah menjadi penaja utama ialah Telekom Malaysia (TM), Astro, CIMB, Watsons dan Shopee. Malah, pengurusan pertandingan juga telah berjaya dijalankan secara lebih sistematik, telus dan kompetitif.

Artikel Berkaitan:

"Ini menarik lebih banyak penaja. Perolehan dan dana daripada tajaan komersial disalurkan semula kepada rakan kongsi MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dalam bentuk bayaran sebagai hak penyiaran," katanya dan menambah penswastaan liga bola sepak Malaysia sudah bermula sejak 2015 melalui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL.

Menurutnya, proses penswastaan itu dijangka melalui satu tempoh peralihan dan fasa pertumbuhan.

"Dalam perbincangan saya dengan FAM, mereka mempunyai satu perancangan realistik sambil mentransformasi dan memodenkan bola sepak profesional di bawah FC di samping memfokuskan semula tanggungjawab persatuan bola sepak negeri terhadap pembangunan bola sepak di negeri masing-masing.

"Langkah ini amat wajar ke arah memperkukuh ekosistem bola sepak negara," katanya. - Bernama