Bahasa Melayu dalam Malaysia Baharu

A
A

SEBELUM PRU yang lalu, Pakatan Harapan berjanji dalam manifesto mereka untuk memartabatkan bahasa Melayu. Demi mendapatkan sokongan dan undi orang Melayu, telah dijanjikan kepada kita bahawa bahasa Melayu akan dimartabatkan menjadi bahasa ilmu dan lingua franca di Asia Tenggara.

Dalam manifesto mereka, beberapa isu berkaitan bahasa Melayu telah diambil kira dan penekanan untuk memperkasakan bahasa Melayu turut disenaraikan. Dalam manifesto ini, kerajaan PH mengulangi ikrar mereka dalam Perjanjian Pakatan Harapan pada 2016 untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sehaluan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta memperluas peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca serantau.

Tiada dibincangkan secara mendalam tentang rancangan kerajaan PH untuk memperkasakan bahasa Melayu serta bagaimana kerajaan PH mahu memperluas peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca serantau.

Mengikut sejarah, bahasa Melayu memang pernah menjadi lingua franca di rantau ini suatu ketika dahulu namun tidak lagi pada hari ini. Agak menarik untuk melihat bagaimana kerajaan hari ini berperancangan untuk memperluas penggunaan bahasa Melayu di rantau ini sedangkan masih ramai rakyat Malaysia yang kurang fasih berbahasa Melayu.

Selain itu, kerajaan PH turut berjanji untuk memastikan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan diberi dana dan kuasa yang cukup untuk menjalankan tugas mereka. Hal ini bertujuan untuk memastikan sistem pendidikan negara lebih kompetitif dan memberikan tanggungjawab kepada majlis tersebut dalam menentukan mekanisme bagi mempertingkat penguasaan bahasa Melayu di sekolah. Hari ini, masih belum kelihatan sebarang perubahan.

Malah, menjadi sedikit kemusykilan apabila kerajaan PH berjanji kepada para ibu bapa di Sabah dan Sarawak bahawa mereka akan diberi hak untuk menyuarakan pandangan dalam menentukan sama ada pembelajaran di sekolah akan menggunakan bahasa ibunda atau bahasa Inggeris.

Bagaimanakah kerajaan hari ini dapat memperluas dan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca di rantau ini jika bahasa Melayu tidak diperkasakan di sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak? Percanggahan ini sahaja sudah nampak jelas kepada kita bahawa manifesto PH mengenai bahasa Melayu adalah bersifat hipokrit.

Tidak dinafikan hak-hak warga Sabah dan Sarawak, seperti yang telah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. Namun, apakah perancangan jangka panjang kerajaan dalam memastikan bahawa janji mereka tentang pemerkasaan bahasa Melayu dalam manifesto akan ditunaikan?

Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca di rantau ini merupakan janji yang sangat berat untuk dilaksanakan. Bagaimanakah kerajaan bercadang untuk mengatasi penggunaan bahasa Inggeris di rantau ini dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca?

Walau apa pun cadangan dan mekanisme yang bakal dibentangkan oleh kerajaan, langkah terawal yang perlu kerajaan lakukan adalah memperkasakan penggunaan bahasa Melayu di negara ini terlebih dahulu. Jika universiti di negara ini masih mengutamakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran, bagaimanakah mungkin pihak kerajaan mampu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu?

Tidak dapat dinafikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris pada hari ini terutamanya dalam kalangan siswazah, namun pernahkah kerajaan mempertimbangkan sama ada yang dijanjikan dalam manifesto mereka itu munasabah atau praktikal untuk dilaksanakan?

Amat menarik untuk melihat bagaimana kerajaan akan memperkenalkan mekanisme yang terbaik untuk mengotakan janji mereka bagi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, jika tidak di rantau ini, sekurang-kurangnya di negara ini sendiri.

Para menteri sendiri pun masih ramai yang tidak begitu fasih berbahasa Melayu!

Jika dilihat daripada aspek perundangan pula, adakah kerajaan bercadang untuk memperkasakan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67? Akta tersebut dilihat terlalu lemah untuk memperkasakan bahasa Melayu di negara, lantas beberapa pindaan dan pembaharuan akta tersebut perlu untuk dilaksanakan.

Apatah lagi, kali terakhir pindaan dibuat terhadap akta tersebut adalah pada 9 September 1994. Akta Bahasa Kebangsaan sangat memerlukan pembaharuan secara holistik bagi memastikan bahasa Melayu dapat diperkasakan dengan sebaik-baiknya.

Kota Rom tidak dibina dalam sehari, begitu juga dengan perancangan untuk memperkembangkan dan memperkasakan bahasa Melayu di negara serta rantau ini. Pelan lengkap jangka panjang diperlukan jika kita mahu memperkasakan bahasa Melayu. Perancangan ini memerlukan komitmen yang tinggi serta pelan yang bersifat holistik supaya hasil yang akan dituai nanti adalah yang terbaik.

Akhirul kalam, takkanlah kegagalan atau kesukaran untuk memperkasakan bahasa Melayu ini juga mereka mahu mempersalahkan kerajaan terdahulu?

* Penulis ialah pemerhati senario politik Negaraku!


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.