Sidang DUN Terengganu dipendekkan kepada dua hari

YAHAYA
YAHAYA
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula 23 hingga 26 November dipendekkan kepada dua hari iaitu 23 dan 24 November.

Yang Dipertua DUN Terengganu, Datuk Yahaya Ali berkata, keputusan itu selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama empat minggu bermula 9 November lalu bagi menangani wabak koronavirus (Covid-19).

"Pada hari pertama, selepas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selesai membentangkan Bajet 2021 persidangan akan diteruskan dengan sesi soal jawab lisan.

"Pada hari kedua pula, kita sambung sidang DUN soalan lisan, perbahasan Bajet 2021 dan penggulungan daripada beberapa wakil serta exco kerajaan negeri," katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Menurut Yahaya, persidangan kali ini hanya melibatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua jabatan tanpa kehadiran para pemerhati sebagaimana biasa.

Beliau berkata, mereka yang hadir harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu memakai pelitup muka, mengambil suhu badan dan amalan penjarakkan fizikal.

"Selain itu, kehadiran media yang membuat liputan juga dihadkan," katanya.

Artikel Berkaitan: