X

Kindly register in order to view this article
!

Kongsi kandungan lucah catat pertuduhan tertinggi: SKMM

A
A

KUALA LUMPUR - Perbuatan berkongsi atau menyebarkan kandungan lucah mencatat pertuduhan tertinggi yang difailkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di mahkamah bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, 22 daripada 34 pertuduhan yang difailkan adalah berkaitan perbuatan berkongsi kandungan lucah, yakni kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Menurutnya, ia diikuti dengan kesalahan berkongsi kandungan jelik sebanyak sembilan pertuduhan, dan berkongsi kandungan palsu tiga pertuduhan.

"Sementara itu, 14 lagi pertuduhan merupakan kesalahan yang dilakukan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang dilakukan melalui aplikasi Facebook,Twitter, WhatsApp, Instagram dan blog," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, peningkatan bilangan pertuduhan itu menunjukkan ketegasan SKMM dalam menangani salah guna media sosial dalam kalangan rakyat, selain bagi memastikan kewujudan persekitaran internet yang selamat dan terjamin.

"Secara keseluruhannya, bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, SKMM menerima 178 Laporan Maklumat Pertama (First Information Report) berkaitan kesalahan penyalahgunaan media sosial, berbanding 139 yang diterima bagi tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

SKMM berkata, sebarang perkongsian atau penyebaran kandungan palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 AKM 1998.

Katanya, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!