Lapangan terbang milik MAHB di Turki kelima paling sibuk di Eropah

Lapangan Terbangan Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen milik MAHB disenaraikan di kedudukan kelima sebagai lapangan terbang paling sibuk di Eropah.
Lapangan Terbangan Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen milik MAHB disenaraikan di kedudukan kelima sebagai lapangan terbang paling sibuk di Eropah.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Aset luar negara Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) Lapangan Terbangan Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen di Turki disenaraikan di kedudukan kelima sebagai lapangan terbang paling sibuk di Eropah, mencatatkan purata harian hampir 500 penerbangan.

MAHB berkata, Pertubuhan Eropah bagi Keselamatan Navigasi Udara (Eurocontrol) yang beribu pejabat di Brussels, Belgium mengumumkan senarai kedudukan tersebut pada Oktober 2020.

“Kemampanan kumpulan Malaysia Airports disokong penuh oleh pemulihan menggalakkan yang dicatatkan SAW dalam tempoh beberapa bulan lepas.

“Sejak Julai 2020, trafik penumpang di SAW menyumbang lebih 50 peratus daripada jumlah keseluruhan kumpulan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pada Oktober 2020, SAW menyumbang 60 peratus daripada jumlah trafik penumpang kumpulan itu sebanyak 2.6 juta.

“Ini membolehkan kumpulan mencapai 22 peratus daripada angka kami sebelum koronavirus (Covid-19),” katanya.

Mohd Shukrie berkata, pemulihan di SAW dipacu terutamanya daripada perjalanan domestik di Turki.

“Bagi Oktober, trafik penumpang domestik berjumlah 80 peratus tahun ke tahun daripada angka sebelum Covid-19 manakala trafik penumpang antarabangsa sebanyak 40 peratus tahun ke tahun.

“Syarikat penerbangan asing terbaharu yang menyambung semula operasi di SAW ialah Salam Air dari Muscat dengan kekerapan penerbangan dua kali seminggu,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Bagi operasi di Malaysia, MAHB berkata, trafik penumpang domestik terus terjejas akibat daripada pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, sebanyak 35 syarikat penerbangan sedang beroperasi dari Malaysia ke 31 destinasi di 23 negara, yang menyediakan sambungan penerbangan penting bagi negara.

“Syarikat penerbangan asing terbaharu yang menyambung semula operasi di Lapangan Terbang Antarabagsa KL adalah Nepal Airlines dari Kathmandu pada 26 Oktober 2020, dengan kekerapan penerbangan empat kali seminggu,” katanya.

Susulan permulaan operasi hab e-penunaian di Hab Cainiao Aeropolis eWTP, Malaysia, pada awal November 2020, KLIA berharap dapat menambah baik sambungan penerbangan di lapangan terbang itu dengan peningkatan kekerapan dan kapasiti pesawat pengangkut. - Bernama