Rakyat muak lihat menteri bergaduh

A
A

*PENGERUSI Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin menegur sikap sesetengah menteri yang suka berkelahi sesama sendiri.

“Berhentilah bergaduh,” katanya merujuk kepada beberapa insiden akhir-akhir ini yang menunjukkan para menteri sering tidak sekata dalam beberapa hal penting.

Ada menteri tidak setuju dengan istilah ‘bergaduh’ yang digunakan oleh Daim. Tetapi hakikatnya ialah YB-YB memang tidak sehaluan, dan itu dilakukan secara terang-terang.

Contoh: Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali mengeluarkan kenyataan bercanggah mengenai status Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Azmin mulanya mengumumkan Putrajaya memutuskan untuk membatalkan projek tersebut. Ini disanggah oleh Lim yang terkejut dengan pengumuman Azmin itu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Abdul Rahman ‘bergaduh’ dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy apabila YB Muar itu mengaku ‘menyeludup’ ahli Bersatu ke dalam Pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum bagi memecat Waytha.

Sebutlah apa sahaja istilahnya – bergaduh, bertengkar, tidak sebulu, tidak sehaluan – apabila terjadi secara terbuka ia boleh menimbulkan rasa muak rakyat kepada kerajaan.

Hentikan segera benda-benda yang meloyakan rakyat itu!

*RAMAI yang prihatin – dan tidak senang – dengan pelantikan Sheikh Omar Baghrib Ali sebagai Anggota Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Mereka tidak berkenan sebab Tuan Sheikh adalah orang DAP. Tidak sesuai parti yang diketahui tidak islamik itu wakilnya duduk dalam sebuah agensi yang mengendalikan hal-hal agama Islam.

Tetapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan Tuan Sheikh layak dibawa ke Yadim memandangkan Adun DAP Paloh itu lulus ijazah dalam bidang usuluddin di Universiti Malaya (UM) dengan pengkhususan dalam dakwah.

Bukanlah hendak menidakkan kelulusan Tuan Sheikh, tetapi parti DAP itu yang dirasakan tidak berapa sesuai. Kecualilah kalau di seluruh Malaysia tiada orang lain yang lulus seperti YB berkenaan.

Dalam keadaan sebahagian besar orang Melayu tidak suka DAP mengapa perlu diwujudkan pelantikan kontroversi seperti itu?

*INI fakta yang patut diambil perhatian oleh Putrajaya: Kajian di seluruh negara akhir tahun lalu menunjukkan hampir 60 peratus Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH.

Kajian itu mendapati 54.4 peratus responden Melayu tidak percaya kerajaan serius melaksanakan agenda Melayu; 60 peratus pula percaya orang bukan Muslim sedang menguasai kerajaan dan DAP yang membuat dalam pentadbiran.

Kajian Ilham Centre bersama Penang Institute itu dijalankan ke atas 2,614 responden bagi tempoh 24 Oktober hingga 24 Disember 2018.

Memang, kajian rambang itu hanya ke atas 2,614 responden, tapi jangan dipandang sepi oleh kerajaan PH. Tempoh bulan madu sudah habis, maka segera baiki mana-mana sendi, urat, otot dan otak yang longgar.

*PERIHAL penembusan media sosial (internet penetration) Malaysia kini berada pada kedudukan lima tertinggi di dunia, demikian menurut laporan terkini Digital 2019 yang disediakan oleh Hootsuite and We Are Social.

Laporan itu juga menyebut kedudukan Malaysia adalah yang teratas di Asia Tenggara, mengalahkan Singapura di tempat ke-6, Thailand ke-8 dan Filipina ke-10.

Menarik juga disebut dalam laporan tersebut ialah penatrasi internet di negara kita adalah pada kadar 80 peratus, dan orang kita menghabiskan purata lapan jam lima minit sehari untuk melayari internet, termasuk dengan telefon bimbit.

Maka tidak menghairankan hubungan kekeluargaan sesama kita semakin renggang sekarang, kerana masing-masing banyak menghabiskan masa bersosial di alam maya.

Malah, ada ibu bapa yang memberikan telefon bimbit dan gajet kepada kanak-kanak berusia seawal tiga tahun, supaya si kecil itu terhibur dan tidak menangis.

Amaran: ini bukan satu kemajuan yang patut dimegahkan. Ini satu penyakit kronik!

*AKHIR kalam, masih mengenai internet, siapa individu paling popular saat ini? Rupanya bukan Tun Dr Mahathir Mohamad, bukan Lim Guan Eng, dan tidak juga Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ada pun individu paling popular di Instagram ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza. Setakat semalam penyanyi lagu Jerat Percintaan itu telah mencatat 5,983,530 pengikut di Instagram.

No. 2 ngetop ialah si manis Neelofa dengan 5,978,192, dan tempat ketiga ialah Nora Danish dengan 5,768,373. Terbukti di Instagram, artis lebih popular dari ahli politik...


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.