Bekalan air pulih secara berperingkat mulai esok

Bekalan air juga dapat diagihkan lebih awal iaitu pada jam 1.45 petang tadi, berikutan penyaluran air bersih pada sistem agihan berjalan lancar. Gambar fail
Bekalan air juga dapat diagihkan lebih awal iaitu pada jam 1.45 petang tadi, berikutan penyaluran air bersih pada sistem agihan berjalan lancar. Gambar fail
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 599 kawasan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 3 petang esok manakala 680 kawasan lagi akan pulih pada jam 3 petang 13 November ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan memaklumkan pelan pemulihan kali ini dibahagikan kepada dua kumpulan.

"Keempat-empat loji kami, LRA SSP 1, 2, 3 dan Rantau Panjang telah beroperasi semula pada jam 2.40 pagi tadi, setelah bacaan 0 Ton direkodkan sebanyak tiga kali berturut-turut.

"Bekalan air juga dapat diagihkan lebih awal iaitu pada jam 1.45 petang tadi, berikutan penyaluran air bersih pada sistem agihan berjalan lancar," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, Air Selangor juga ingin menekankan bahawa air yang dibekalkan kepada para pengguna telah melalui ujian kualiti air dan pematuhan berdasarkan kepada standard Kementerian Kesihatan Malaysia, serta telah disahkan tiada bau oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

"Air Selangor amat memahami kerisauan yang dihadapi oleh semua pengguna dalam mendapatkan bekalan air bersih khususnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

"Air Selangor akan terus berusaha untuk memberi bantuan bekalan air melalui 111 lori-lori tangki air ke premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis, serta kawasan perumahan.

"Selain itu, bantuan bekalan air alternatif juga disediakan di 14 pili-pili air awam serta 17 Pusat Khidmat Setempat untuk membantu para pengguna yang terjejas mendapatkan bantuan bekalan air," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pengguna yang mendapatkan bekalan air dari lori tangki air, pili awam serta Pusat Khidmat Setempat dinasihatkan untuk mematuhi SOP PKPB.

Terdahulu, sebanyak 1,139,008 juta akaun pengguna di 1,279 kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor berdepan gangguan bekalan air bermula petang semalam

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd menerusi satu kenyataan memaklumkan, ia merangkumi kawasan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.