Kerajaan Persekutuan setuju lima daripada 13 tuntutan Sarawak

Lima daripada 13 tuntutan kerajaan Sarawak dalam rundingan berhubung semakan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan. Foto 123RF
Lima daripada 13 tuntutan kerajaan Sarawak dalam rundingan berhubung semakan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan. Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - Lima daripada 13 tuntutan kerajaan Sarawak dalam rundingan berhubung semakan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Menurutnya, rundingan itu diusahakan dengan gigih oleh kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan di bawah beberapa jawatankuasa dan sehingga kini lima tuntutan Sarawak sudahpun dipersetujui, manakala empat tuntutan lagi masih di peringkat rundingan dan empat lagi dibincangkan di bawah jawatankuasa bersama yang dibentuk.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Datuk Dr Juanda Jaya (GPS-Jemoreng) yang ingin tahu apakah status terkini rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Sharifah Hasidah berkata, tuntutan pertama merujuk kepada semakan semula pemberian (peruntukan) khas buat negeri Sarawak seperti yang termaktub di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan kedua berhubung penyerahan kuasa pengedaran gas negeri kepada Sarawak berlandaskan undang-undang negeri, selaras dengan 'Distribution of Gas Ordinance 2016'.

Bagi tuntutan ketiga pula menurutnya, kerajaan Persekutuan bersetuju melaksanakan penurunan kuasa menteri persekutuan kepada pihak berkuasa negeri bagi menggubal undang-undang subsidiari di bawah Labour Ordinance Sarawak (yang kini diisytiharkan sebagai undang-undang Persekutuan) berkaitan dengan tenaga buruh yang sesuai untuk dilaksanakan di Sarawak secara khasnya dengan mengambil kira keadaan khusus di Sarawak.

Merujuk kepada tuntutan keempat beliau berkata, kerajaan Persekutuan bersetuju melaksanakan perwakilan kuasa di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) kepada kerajaan negeri bagi mengawal selia perkara-perkara berkenaan alam sekeliling termasuk melibatkan buangan berjadual.

Sharifah Hasidah berkata, bagi tuntutan kelima kerajaan persekutuan bersetuju supaya tanah di Sarawak yang diberi hak milik Persekutuan, diserahkan semula kepada kerajaan negeri mengikut Kanun Tanah Negeri Sarawak dan Perlembagaan Persekutuan.

“Usaha ini sesungguhnya diteruskan dan diperjuangkan oleh kerajaan Sarawak bersama kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan kerajaan Perikatan Nasional,” katanya dan menambah di peringkat Persekutuan satu majlis khas Kabinet ditubuhkan bagi meneruskan dan memantau pelaksanaan keputusan-keputusan yang telah dicapai oleh jawatankuasa sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) di Jabatan Perdana Menteri juga telah dilantik selaku urusetia bagi memantau pelaksanaan keputusan-keputusan dasar jawatankuasa khas Kabinet itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus membawa dan memperjuangkan tuntutan-tuntutan berkenaan supaya usaha untuk mengembalikan hak-hak Sarawak seperti yang termaktub di bawah MA63 dan Perlembagaan Persekutuan serta aspirasi rakyat negeri ini dapat direalisasikan. - Bernama