Jangan ke laut jika cuaca tidak menentu

Nelayan di pesisir pantai di Kampung Sepat, di sini membuat persiapan sebelum turun ke laut.
Nelayan di pesisir pantai di Kampung Sepat, di sini membuat persiapan sebelum turun ke laut.
A
A
A

KUANTAN - Nelayan di Pahang dinasihatkan jangan turun ke laut sekiranya keadaan cuaca tidak menentu sepanjang musim tengkujuh ini.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Abdullah Jaafar berkata, peringatan itu bagi memastikan nelayan mengambil langkah keselamatan sebelum ke laut kerana mereka terdedah kepada bahaya.

"Saya nasihatkan nelayan supaya lebih berhati-hati dan sentiasa mengambil langkah keselamatan sepanjang musim tengkujuh ini. Mereka terdedah dengan angin kencang serta ombak kuat. Tambahan pula, cuaca di laut boleh berubah tanpa diduga, jadi ia boleh mengundang kejadian tidak diingini susulan Monsun Timur Laut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain itu, Abdullah berkata, jika turun ke laut tanpa mendapatkan sebarang maklumat semasa berkaitan keadaan cuaca dan laut, boleh mengundang kejadian tidak diingini memandangkan banyak kes sebelum ini nelayan berhadapan detik cemas ketika menangkap ikan di laut.

"Kita akui laut terbuka di perairan negeri ini menyukarkan nelayan untuk berteduh dan menyelamatkan diri sekiranya berlaku kejadian angin kencang serta ombak besar. Pengalaman luas sebagai nelayan tidak bermakna mereka mampu mengharungi setiap dugaan.

"Jadi, nelayan yang turun ke laut pada musim tengkujuh ini, mereka perlu menyediakan peralatan keselamatan seperti ditetapkan dalam syarat lesen. Antara peralatan perlu ada ialah jaket keselamatan dan pelampung, bot mereka juga dilengkapi dengan Sistem Pengesanan Global (GPS) serta alat perhubungan radio,"katanya.

Sementara itu, nelayan, Abdul Aziz Abu Bakar, 56, berkata, maklumat berkaitan dengan keadaan cuaca semasa sentiasa dititik beratkan setiap kali turun ke laut pada musim tengkujuh.

"Bila tiba musim tengkujuh, saya jarang turun ke laut, pendapatan pun kurang, tetapi ada ketikanya saya ke laut tetapi saya akan dapatkan maklumat cuaca terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

"Bukan apa, keadaan di laut tidak sama seperti di darat, kalau angin kencang, laut bergelora, nelayan boleh sesat," katanya.