Rusuhan kuil: Kredibiliti Moorthy terus dipertikai

Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy mempertikai tindakan polis dalam insiden rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya sekali lagi mengundang sangsi ramai tentang kredibiliti beliau.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan Moorthy yang memegang portfolio Menteri Perpaduan mengeluarkan kenyataan seperti itu adalah tidak wajar untuk beliau terus menjadi anggota Kabinet.

“Beliau nyata sekali gagal memahami prinsip tanggungjawab bersama Kabinet yang merupakan asas tugas seorang Menteri. Jika prinsip cabinet collective responsibility pun mereka gagal untuk hadam, bagaimana untuk menjadi seorang menteri?

“Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) wajar untuk membuat penilaian semula terhadap menteri seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan kuil: 'Kenapa Moorthy tak salahkan diri sendiri?']

Ahmad Fadhil berkata, sudah pasti di dalam menjalankan tugas, polis juga tidak terlepas daripada terdedah dengan kelemahan.

“Saya sendiri tidak berhasrat menyatakan bahawa polis telah sempurna dan tidak boleh diberikan teguran. Kami di pihak pembangkang seringkali merasa tidak puas hati dengan layanan pihak polis di dalam sesetengah kes.

“Selaku pembangkang sebelum PRU14 dan juga pembangkang selepas PRU14, sudah pasti banyak perkara yang boleh disebut berhubung rasa tidak puas hati terhadap pihak polis.

“Tetapi menyebutnya secara terbuka di dalam sidang media oleh menteri-menteri Kabinet sendiri adalah sesuatu perkara yang tidak sesuai,” katanya.

Artikel Berkaitan:


[ARTIKEL BERKAITAN: Kaitkan orang Islam, Exco 'gelabah' edit semula status FB]

Ahmad Fadhil berkata, bukankah kerajaan pusat sudah ditadbir oleh PH begitu juga dengan kerajaan negeri Selangor.

“Di celah mana lagi ruang pentadbiran yang tidak boleh digunakan oleh menteri untuk menegur apa yang mereka sifatkan sebagai ‘kepincangan’ oleh pihak polis ini?

“Bukankah Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap pihak polis juga diketuai oleh Menteri dari PH? Apa susahnya untuk menyatakan teguran ini mengikut saluran Kabinet daripada menyatakannya secara terbuka hanya untuk mencetuskan polemik dengan warga PDRM?

“Atau sebenarnya para menteri, timbalan dan ahli-ahli Parlimen PH (termasuk Ahli Parlimen Jelutong) yang turut bersama di dalam sidang media itu berhasrat untuk menunjukkan kepada rakyat khususnya golongan yang terbabit mempertahankan kuil tersebut bahawa ‘mereka sudah buat kerja’?,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan kuil: Polis tahan empat lelaki, rampas parang]