Penemuan vaksin Covid-19 beri isyarat krisis akan berakhir

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembangunan vaksin koronavirus (Covid-19) oleh Pfizer Inc dan BioNTech SE mengisyaratkan kemungkinan pengakhiran bagi pandemik sudah semakin jelas dan bakal mendorong pelabur untuk mengambil keuntungan ke atas saham-saham benefisiari, kata CGS-CIMB Securities Sdn Bhd.

Menurut CGS-CIMB, saham-saham itu mempunyai prestasi harga saham yang baik dari tahun ke tarikh, tetapi pelabur berkemungkinan beralih kepada pelaburan pemulihan Covid-19 seperti bank, syarikat penerbangan, lapangan terbang, peruncit, permainan dan media, memandangkan harga saham terjejas dengan ketara semasa sekatan pergerakan.

"Dalam separuh kedua nota strategi 2020 kami, kami telah menggerakkan tema pemulihan Covid-19 dan menasihatkan pelabur untuk mula mengumpul saham dalam sektor ini kerana penilaian yang menarik dan jangkaan pemulihan pendapatan, pasca pandemik pada 2021," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Firma broker saham itu berkata, Pfizer dan BioNTech mengumumkan bahawa vaksin mereka memiliki kesan melebihi 90 peratus untuk mencegah Covid-19.

Bagaimanapun, walaupun penemuan vaksin tersebut merupakan perkembangan yang positif, beberapa persoalan dan kebimbangan tetap kekal termasuk sama ada vaksin ini boleh mencegah penyakit atau komplikasi yang kritikal, berapa lama ia akan melindungi daripada jangkitan dan kesannya terhadap warga tua.

"Berdasarkan unjuran semasa, syarikat-syarikat berkenaan mungkin mampu menghasilkan sehingga 50 juta dos vaksin di peringkat global pada 2020 dan sehingga 1.3 bilion dos menjelang 2021," katanya.

Sementara itu, CGS-CIMB berkata sektor permainan, syarikat penerbangan, lapangan terbang, REIT, media, bank, hospital, minuman keras, tembakau termasuk sektor minyak dan gas berpotensi untuk kembali melonjak apabila kes Covid-19 di peringkat global mula menurun atau vaksin dibangunkan.

Katanya, syarikat yang akan mendapat manfaat daripada pembukaan semula sempadan antarabangsa termasuk Genting Bhd, Genting Malaysia Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd, IGB Real Estate Investment Trust, IHH Healthcare Bhd dan KPJ Healthcare Bhd, disebabkan oleh kedatangan pelancong yang lebih tinggi. - Bernama

Artikel Berkaitan: