Kertas siasatan kes bunuh Siti Nur Surya hampir siap

Unit selam pasukan polis Marin Wilayah Tiga bersiap sedia untuk memulakan operasi mencari bahan bukti di Sungai Telemong dekat Kampung Bukit Tadok. Foto: ihsan IPD Hulu Terengganu
Unit selam pasukan polis Marin Wilayah Tiga bersiap sedia untuk memulakan operasi mencari bahan bukti di Sungai Telemong dekat Kampung Bukit Tadok. Foto: ihsan IPD Hulu Terengganu
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kertas siasatan kes pembunuhan Siti Nur Surya Ismail, 19, di Kampung Lubok Batu, Telemong, Kuala Berang di sini pada 1 November lalu dijangka siap dalam masa terdekat ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kertas siasatan kini sudah 90 peratus siap dan akan dirujuk kepada pendakwa raya untuk pertimbangan dan tindakan lanjut hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut meminta bantuan unit selam bagi mengesan barangan lain yang dikatakan dibuang di Sungai Telemong dekat Kampung Bukit Tadok.

"Siasatan hampir siap dan setakat ini, kira-kira 20 saksi dipanggil dan senjata juga sudah ditemui di tepi lebuh raya di Telemong pada 4 November lalu, kita hanya tunggu arahan selanjutnya.

"Ahad lalu, kita ada menggunakan khidmat sembilan pegawai dan anggota Unit Selam Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga untuk mengesan barang kes yang dipercayai dibuang suspek berusia 19 tahun ke dalam sungai berkenaan.

"Suspek mengaku ada membuang barangan yang diambil di rumah mangsa, namun kita tidak menemui barangan berkenaan dalam operasi yang dijalankan selama dua jam bermula jam 3 petang," katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Sebelum ini, pada 3 November lalu, pelajar tingkatan enam itu dibenarkan direman tujuh hari yang berakhir hari ini untuk siasatan lanjut berhubung kejadian bunuh rakan sekolahnya itu dalam kejadian di Kampung Lubok Batu, Telemong Hulu Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Unit selam pasukan polis Marin Wilayah Tiga bersiap sedia untuk memulakan operasi mencari bahan bukti di Sungai Telemong dekat Kampung Bukit Tadok. Foto: ihsan IPD Hulu Terengganu
Unit selam pasukan polis Marin Wilayah Tiga bersiap sedia untuk memulakan operasi mencari bahan bukti di Sungai Telemong dekat Kampung Bukit Tadok. Foto: ihsan IPD Hulu Terengganu

Suspek ditahan selepas tampil ke Balai Polis Telemong Hulu Terengganu kira- kira jam 7.30 pagi dengan ditemani ibunya kononnya untuk membantu siasatan, namun hasil keterangan diberi remaja terbabit mencurigakan lalu ditangkap untuk siasatan lanjut.

Penahanan remaja yang bersekolah bersama mangsa dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima itu sekali gus membongkar motif kejadian pembunuhan kejam itu.

Hasil pendedahan, suspek memaklumkan dia pergi ke rumah mangsa kira-kira jam 9 pagi dan bersembang di ruang tamu sebelum berlaku perselisihan faham sehingga tercetusnya pergelutan di antara mereka.

Hasil penahanan suspek, turut ditemui beberapa barangan milik mangsa dilaporkan hilang termasuk telefon bimbit, wang tunai dan kelengkapan mekap.

Pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek juga mendapati beberapa kesan kecederaan di bahagian badannya.

Media sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun ditemui mati dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Kampung Lubok Batu, Telemong di sini.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Siti Nur Surya ditemui tertiarap di ruang tamu rumah berkenaan oleh adiknya, Siti Nur Syuhada, 15, yang baru pulang dari sekolah.

Siti Nur Surya dibunuh kejam dengan beberapa kesan tikaman dipercayai senjata tajam di beberapa bahagian badan termasuk putus pergelangan tangan kiri.

Ketika kejadian, bapa mangsa tiada di rumah, manakala mangsa yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik sedang menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat kanser otak.