[VIDEO] Pencemaran air: Polis temui 40 tong bahan buangan berjadual

Arifai (kiri) melihat 40 tong bahan buangan berjadual di sebuah premis di Taman Velox di Rawang hari ini.
Arifai (kiri) melihat 40 tong bahan buangan berjadual di sebuah premis di Taman Velox di Rawang hari ini.
A
A
A

RAWANG - [DIKEMAS KINI] Polis menemui 40 tong bersamaan 40,000 liter bahan buangan berjadual di dalam sebuah premis yang dijadikan sebagai stor penyimpanan di Jalan Velox 2 di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya mendapati 40 tong itu telah berada di premis berkenaan sejak dua minggu lalu.

"Seorang wanita tempatan berusia 40 tahun bersama pasangannya dipercayai menyewa premis ini untuk meletakkan barang buangan berjadual berkenaan sejak dua minggu lalu dengan sewa RM3,800 sebulan," katanya pada sidang akhbar di Taman Velox di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati terdapat pembuangan bahan kimia dilakukan menerusi lubang kumbahan di dalam premis berkenaan yang mengalir ke Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) yang jaraknya kira-kira 300 meter dari premis terbabit.

"Berdasarkan penemuan itu, kita tidak menolak kemungkinan terdapat unsur sabotaj dalam kejadian ini dan siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan sedang dijalankan,” katanya.

Arifai berkata, polis sedang menunggu laporan bagi mengenal pasti jenis bahan buangan yang mengakibatkan pencemaran di Sungai Selangor.

"Kita menerima laporan daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada jam 2.30 petang semalam. Hasil laporan itu, kita melakukan siasatan terperinci di kawasan ini dan menemui premis berkenaan," katanya.

Beliau berkata, seramai empat individu termasuk seorang wanita serta pekerja lelaki warga Bangladesh direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga sedang mengesan saki baki individu yang dipercayai terbabit dalam kes ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bersama agensi lain akan mengambil tindakan sekiranya mendapati terdapat pelanggaran peraturan dilakukan mana-mana premis di daerah ini.

"Pemantauan sentiasa dilakukan dalam usaha menyelesaikan isu ini.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan empat individu termasuk seorang wanita ditahan di lokasi berasingan malam tadi sehingga awal pagi tadi kerana dipercayai terbabit dengan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor.