Dewan Rakyat tubuh 9 Jawatankuasa Pilihan Khas baharu

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat hari ini bersetuju mewujudkan sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menggantikan 10 jawatankuasa sedia ada.

Jawatankuasa pilihan khas tersebut terdiri daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Asasi dan Hak di bawah perlembagaan; Kewangan dan Ekonomi; Keselamatan; Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri; Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri; Pembangunan dan Infrastruktur; Pendidikan; Kesihatan, Sains dan Inovasi serta Hal Ehwal Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hasan berkata, penubuhan jawatankuasa itu berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kementerian.

Menurutnya, jawatankuasa berkenaan mesti mempunyai tujuh anggota termasuk pengerusi dan tempoh pelantikan selama dua tahun.

"Jawatankuasa Pilihan Khas itu berkuasa memanggil orang hadir di hadapannya untuk mengambil keterangan, fikiran dan pandangan mengenai apa yang berkaitan dengan bidang tugas dinyatakan dalam terma rujukan jawatankuasa serta tertakluk kepada peruntukan yang dinyatakan dalam Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Seterusnya, laporan dikeluarkan hasil daripada siasatan oleh jawatankuasa berkenaan hendaklah dibentangkan di dalam Dewan.

"Penyata yang dibentangkan boleh dicadangkan untuk dibahas, diterima dan dipersetujui oleh Majlis melalui usul di bawah Peraturan Mesyuarat 86(5) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, jawatankuasa Dewan dalam mesyuarat juga bersetuju Seksyen Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat di Bahagian Pengurusan Dewan Rakyat menjadi sekretariat kepada Jawatankuasa Pilihan Khas itu bagi membolehkan ia berfungsi dengan lancar dan berkesan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hannah Yeoh (PH-Segambut) mencadangkan agar jawatankuasa khas itu terdiri daripada jumlah ahli Parlimen yang sama dari kedua-dua belah pihak.

Fuziah Salleh (PH-Kuantan) turut mempersoalkan jawatankuasa khas bagi persekitaran dan kesamarataan gender yang tidak ada dalam senarai.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, beliau tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan sebarang cadangan jawatankuasa tambahan dan menasihati ahli Parlimen berkenaan untuk menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun.