Bekalan darah HPSF kembali normal

Sahruddin ketika berbincang bersama Dr Muhammad Yusof dan kakitangan di Jabatan Patologi Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, semalam.
Sahruddin ketika berbincang bersama Dr Muhammad Yusof dan kakitangan di Jabatan Patologi Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, semalam.
A
A
A

MUAR - Orang ramai khususnya pesakit di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) kini tidak perlu bimbang bekalan darah di hospital tersebut apabila dilaporkan kembali normal seperti biasa.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, bekalan darah di hospital itu tidak lagi terganggu dan sekali gus melancarkan urusan rawatan seperti biasa.

Katanya, beliau sebelum ini mendapat laporan mengenai jumlah bekalan darah di HPSF yang dikatakan semakin kritikal sejak kira-kira seminggu lalu.

“Bagaimanapun, usaha pihak HPSF yang giat mengadakan hebahan dan kempen berjaya memberi kesedaran masyarakat untuk menderma.

“Bagi data terkini, Alhamdulillah, pihak hospital telah menerima penambahan jumlah beg darah. Bagaimanapun, kita tetap menggalakkan masyarakat yang layak dengan syara-syarat menderma ini untuk teruskan aktiviti murni itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Unit Perubatan Transfusi, Jabatan Patologi HPSF, semalam.

Turut mengiringi beliau, Pengarah HPSF, Dr Muhammad Yusof Sibert.

Menurut Dr Sahruddin, pihaknya tidak menetapkan jenis darah yang sesuai didermakan, namun menggalakkan untuk mana-mana individu menyumbang darah mereka.

Artikel Berkaitan:

Minggu lalu, HPSF dalam satu kenyataan di Facebook mengesahkan kekurangan bekalan darah jenis B+.

Katanya, penderma kumpulan darah B+ diperlukan dan mempelawa orang ramai untuk hadir ke Unit Perubatan Transfusi HPSF Muar dengan merujuk waktu operasi atau di mana-mana Kempen Derma Darah Bergerak berdekatan.