PM tinjau PKPD di Bandar Baru Salak Tinggi

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin lengkap memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) ketika membuat tinjauan ke Pusat Saringan COVID-19 di pusat perniagaan Medan 88 Bandar Salak Tinggi, Sepang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 12.01 malam tadi. -Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin lengkap memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) ketika membuat tinjauan ke Pusat Saringan COVID-19 di pusat perniagaan Medan 88 Bandar Salak Tinggi, Sepang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 12.01 malam tadi. -Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat tinjauan di Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi di sini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini.

Ketibaan Muhyiddin pada jam 9.00 pagi disambut oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Sebelum memulakan tinjauan, Muhyiddin diberi taklimat oleh Dr Sha'ari berhubung profil kawasan berkeluasan kira-kira 2.64 hektar yang menempatkan 284 premis itu, dengan kira-kira 800 penduduk, majoritinya adalah warganegara.

Beliau yang memakai set peralatan perlindungan diri (PPE) meluangkan masa kira-kira setengah jam meninjau kawasan PKPD berkenaan.

Muhyiddin juga dilihat sempat bertanyakan khabar dengan salah seorang penduduk, Ahmad Bahiyuddin Syafiq Ahmad Rosdi, 23, yang melakukan ujian swab.

Beliau turut berkongsi pengalamannya menjalani ujian swab berkali-kali kepada Ahmad Bahiyuddin Syafiq sambil berkata kos ujian swab koronavirus (Covid-19) di fasiliti swasta boleh mencecah sehingga RM300.

Sementara itu, Dr Sha'ari ketika ditemui media berkata, pihaknya mengesan dua kes positif di kawasan berkenaan pada 4 Okt lepas, dan sejak itu pengesanan kes secara aktif dijalankan, dan hasilnya 113 orang sudah disaring dengan 35.3 peratus atau seramai 40 orang disahkan positif.

Artikel Berkaitan:

"Ini kadar yang agak tinggi (sebab itu) kita mencadangkan diadakan saringan secara berkala iaitu targeted (bersasar) dan juga sudah mobilised (mengerah) 60 orang kakitangan untuk bertugas di kawasan ini.

"Kita berharap aktiviti ini dapat memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di kawasan ini," katanya.

Sementara itu, Rina berkata, pihaknya menyediakan 500 bakul makanan yang akan diedarkan kepada penduduk setempat dan pihaknya akan menyediakan bantuan mengikut keperluan penduduk dari semasa ke semasa.

Maklumat lanjut berkenaan pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan akan diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob nanti.

Sehingga semalam, jumlah kumulatif positif Covid-19 di Malaysia adalah 42,050 dengan jumlah kes aktif 11,446 kes dan melibatkan 46 kluster yang masih aktif. - Bernama