Kerajaan berdepan 3 tuntutan sivil penamatan kontrak KVDT2

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedia berunding di luar mahkamah dengan pihak syarikat yang membangunkan projek Fasa 2 Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2).

Menteri Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan kini berdepan tiga tuntutan sivil ekoran pembatalan kontrak bersama syarikat berkenaan.

Menurutnya, tiga tuntutan berkenaan termasuk semakan kehakiman, writ saman kerana mungkir kontrak atau tuntutan ganti rugi daripada pihak syarikat dan permohonan injunksi diambil kerajaan.

"Dalam mana-mana kes sivil dihadapi kerajaan, kerajaan sentiasa berunding dan mencari penyelesaian.

"Jumaat lepas jemaah menteri telah buat keputusan supaya satu persepakatan dirunding dengan syarikat ini supaya 'win-win situation'," katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan dalam Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Loke Siew Fook (PH-Seremban) mengenai sama ada kerajaan sedia mengadakan rundingan semula berhubung KDVT2.

Takiyuddin pada masa sama tidak menolak tindakan sivil yang dibuat akan menyebabkan kelewatan projek.

"Memang saya akui, kelewatan akan dihadapi kerajaan untuk laksanakan (KDVT2) kerana ia membabitkan tindakan termasuk injunksi. Syarikat sudah dapat injunksi interim terhadap kerajaan tetapi ada beberapa permohonan lain sedang ditetapkan tarikh oleh mahkamah dalam bulan ini. Saya yakin kerajaan sedia untuk berunding," katanya.

Artikel Berkaitan:

KVDT2 membabitkan usaha baik pulih dan naik taraf landasan kereta api KTMB sejauh 265 kilometer meliputi kawasan dari Salak Selatan ke Seremban dan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, Kabinet bersetuju membuka semula tender bagi projek terbabit demi memastikan ketelusan penggunaan dana awam seterusnya memperoleh nilai terbaik bagi rakyat dan ekonomi negara.

Bagaimanapun, pada 7 September lalu, DMIA-LTAT memfailkan saman terhadap kerajaan dan Ka Siong, antara lain memohon mendapatkan satu deklarasi bahawa terdapat kontrak yang sah dan mengikat antara syarikat itu dengan kerajaan menerusi satu surat penerimaan bertarikh 19 Ogos 2019.