781 tapak projek gagal patuh SOP Covid-19

Eddin Syezlee
Eddin Syezlee
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sejumlah 781 tapak pembinaan di negara ini didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) koronavirus (Covid-19).

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, jumlah itu meliputi pemeriksaan di tapak pembinaan di semenanjung dan Sarawak.

Menurutnya, sehingga 18 Oktober 2020, Kementerian Kerja Raya melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah melaksanakan pemeriksaan pematuhan SOP tapak bina di 7,704 tapak bina seluruh negara.

"Sebanyak 6,923 tapak telah patuh SOP Covid-19 dan dibenarkan beroperasi, manakala sebanyak 781 tapak pembinaan tidak dibenarkan beroperasi kerana telah gagal mematuhi SOP

"Bagi negeri Sarawak, sebanyak 739 tapak dibenarkan beroperasi, empat tapak telah langgar SOP dan tidak dibenarkan beroperasi," katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan dibangkitkan daripada Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang minta dinyatakan jumlah terkini tapak pembinaan yang dibenarkan beroperasi kerana patuh SOP Covid-19 di seluruh negara dan berapa banyak tidak patuh SOP serta tidak dibenarkan beroperasi.

Dalam pada itu beliau berkata, kegagalan kepatuhan syarikat pembinaan terhadap SOP Covid-19 dikenal pasti disebabkan faktor kegagalan memahami kehendak SOP ditetapkan.

"Ini menyebabkan kekeliruan, namun CIDB telah mengambil pendekatan memberikan perincian butiran supaya SOP difahami. Bagi yang didapati sengaja, tindakan tegas diambil termasuk memberi amaran dan notis pemberhentian," katanya.

Artikel Berkaitan: