Rakyat digesa mengiisi e-Census, bantu kerajaan laksana pembangunan

Ketua Perangkaan, Jabatan Statistik Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Ketua Perangkaan, Jabatan Statistik Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM – Rakyat Malaysia digesa untuk mengambil bahagian dalam Banci 2020 melalui e-Census bagi membantu kerajaan melaksanakan pembangunan negara.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kerjasama rakyat penting untuk memastikan data yang diperoleh akan digunakan untuk menggubal dan melaksanakan polisi kerajaan demi kesejahteraan mereka.

“Sebagai rakyat bertanggungjawab, kita mestilah bertolong-tolongan dan memberikan kerjasama dengan mengisi data dalam e-Census itu. Luangkan masa hanya 45 minit untuk bantu perancangan pembangunan negara.

“Kita tidak mahu negara berada dalam keadaan ketidaktentuan serta ‘teraba-raba’ kerana masih ada kelompongan data. Oleh sebab itu, maklumat yang ada akan digunakan untuk menggubal dan melaksanakan polisi kerajaan untuk tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Wacana Al-Quran bertajuk ‘Dalam program Wacana Al-Quran bertajuk ‘Pendataan: Sumber ekonomi negara’ yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf semalam.

Dalam wacana berkenaan beliau bergandingan dengan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar sebagai panelis dan Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail selaku moderator serta qari jemputan, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman yang membacakan surah al-Kahf.

Wacana Al-Quran sesi ke-17 membincangkan topik Pendataan: Sumber Daya Ekonomi Negara, dari kiri Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku Moderator, para panelis Ketua Perangkaan, Jabatan Statistik Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin (dua kanan) Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Datuk Dr Mohd Daud Bakar dan Qari My#QuranTime Ustaz Tarmizi Abdul Rahman yang berlangsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, semalam. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Wacana Al-Quran sesi ke-17 membincangkan topik Pendataan: Sumber Daya Ekonomi Negara, dari kiri Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku Moderator, para panelis Ketua Perangkaan, Jabatan Statistik Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin (dua kanan) Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Datuk Dr Mohd Daud Bakar dan Qari My#QuranTime Ustaz Tarmizi Abdul Rahman yang berlangsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, semalam. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Menurut beliau, maklumat yang dibekalkan melalui Banci 2020 akan mencorakkan kehidupan generasi pada masa depan yang bakal mengemudi negara ke satu tahap yang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Banci Penduduk dan Perumahan yang dilaksanakan setiap 10 tahun memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa Malaysia bagi menjadi sumber rujukan dan asas penting kepada perancangan pembangunan negara.

“Melalui aktiviti itu, saiz, taburan, komposisi dan ciri sosioekonomi penduduk serta perumahan di Malaysia dapat dikenal pasti.

“Maklumat seperti fasiliti pendidikan, kesihatan, rekreasi, jaringan jalan raya yang diperoleh akan digunakan untuk menggubal dan melaksanakan polisi kerajaan untuk tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat,” katanya.

Ujar beliau, maklumat yang dibekalkan melalui Banci 2020 akan mencorakkan kehidupan generasi pada masa depan yang bakal mengemudi negara ke satu tahap yang lebih baik.

“Jika diimbas kembali, kehidupan dan nikmat yang kita peroleh pada hari ini adalah hasil kerjasama dan komitmen rakyat yang membekalkan maklumat pada banci terdahulu.

“Menerusi data bancian yang dilaksanakan itu, kita dapat mengetahui masalah-masalah yang dihadapi rakyat negara ini dan seterusnya kerajaan dapat merangka keutamaan dan strategi yang memberi manfaat kepada penduduk Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Menurutnya, peranan dan tanggungjawab yang perlu dipikul kerajaan dan rakyat adalah bagi memastikan kelangsungan pembangunan negara secara kompetitif, berintegriti dan bermaruah agar semua rakyat mengecapi taraf hidup yang wajar serta tumpuan terhadap pembangunan dan kemajuan negara untuk mencapai taraf negara maju lebih awal turut dapat direalisasikan.

“Walaupun sudah tiga bulan Banci 2020 secara dalam talian atau e-Census dilancarkan, jumlah rakyat Malaysia yang mengisi maklumat menerusi kaedah itu masih belum mencapai sasaran ditetapkan.

“Semua soalan yang dikemukakan berdasarkan apa yang diinginkan oleh agensi serta kementerian yang terlibat dan setiap polisi atau keputusan yang dibuat kerajaan berdasarkan dapatan berkenaan.

“Justeru, kita minta rakyat Malaysia supaya sama-sama mengisi e-Census ini. Data anda masa depan kita, bantu negara merancang pembangunan pada masa akan datang,” katanya.