Bukan batal tapi kaji semula: MB NS

Aminuddin (tengah) menyerahkan replika cek sumbangan kerajaan negeri kepada Sekolah Tinggi Chung Hua.
Aminuddin (tengah) menyerahkan replika cek sumbangan kerajaan negeri kepada Sekolah Tinggi Chung Hua.
A
A
A

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan menafikan projek pembinaan masjid baharu di pinggir bandar IOI di Bahau, Jempol dibatalkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, projek itu kini sedang dikaji semula secara keseluruhan bagi mengelakkan permasalahan lain.

“Jangan jadikan ia isu permainan politik yang tak sudah-sudah. Kita nak semak semula sama ada tapak tanah dicadangkan sesuai atak tidak.

"Jadi buat masa ini eloklah kita mengimarahkan mana-mana masjid yang telah sedia ada di kawasan itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Tulisan Kaligrafi Cina di Sekolah Tinggi Chung Hua di sini, semalam.

Aminuddin berkata, ada beberapa pembinaan masjid yang telah pun diluluskan peruntukannya sebelum ini seperti di Nilai Impian dan Taman Bukit Kepayang, terpaksa ditarik balik kerana lokasi dan keadaan tanah tidak sesuai.

Beliau berkata, setelah diteliti, kos kerja-kerja menambak tanah adalah lebih tinggi berbanding untuk membina masjid itu sendiri.

“Oleh kerana tiada pemantauan yang betul, mereka serah tanah paya untuk buat masjid. Kita tidak mahu buat sesuka hati.

“Kita perlu rasional dan jika ada tapak tanah lain lebih sesuai, kita tiada masalah. Ini kerana ada juga projek pembinaan masjid yang peringkat awal telah ditarik balik, tapi diberi peruntukan semula yang lebih baik selepas melihat kepada keperluannya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Seremban dan Adun di kawasan Parlimen Seremban.

Terdahulu media tempatan melaporkan dalam surat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) bertarikh 26 April 2016 menyatakan, Timbalan Perdana Menteri telah bersetuju meluluskan peruntukan RM7.17 juta bagi pembinaan masjid di pinggir bandar IOI.

Bagaimanapun laporan itu mendakwa peruntukan berkenaan telah ditarik balik.

Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata, sebelum ini beliau telah dimaklumkan peruntukan telah pun diletakkan kepada Pejabat Pembangunan Negeri negeri ini, sebagai agensi pelaksana projek.

“Tetapi selepas pembentangan Belanjawan 2019 lalu, peruntukan itu telah tiada,” katanya.