Tesco, foodpanda kerjasama untuk kemudahan pelanggan

Pelanggan dapat memesan hingga 3,000 barang termasuk produk makanan segar dan barangan runcit serta boleh mendapatkannya dalam tempoh 40 minit.
Pelanggan dapat memesan hingga 3,000 barang termasuk produk makanan segar dan barangan runcit serta boleh mendapatkannya dalam tempoh 40 minit.
A
A
A

DALAM memberikan kemudahan lebih besar kepada pelanggan, Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd kini menjadi peruncit utama pertama yang bekerjasama dengan foodpanda Malaysia.

Melalui perkongsian bersama penyedia perkhidmatan penghantaran antarabangsa atas permintaan itu, pelanggan dapat memesan hingga 3,000 barang termasuk produk makanan segar dan barangan runcit serta boleh mendapatkannya dalam tempoh 40 minit.

Pengarah Produk Tesco Malaysia, Kenneth Chuah berkata, kerjasama itu akan mengukuhkan lagi kehadiran Tesco di atas talian yang kini wujud melalui platform membeli-belah runcitnya sendiri, Tesco Online.

“Di Tesco, kami berusaha keras untuk pelanggan-pelanggan kami. Kami berusaha untuk memastikan akses kepada pelanggan melalui rangkaian 62 cawangan kami di seluruh negara manakala rangkaian barang Barangan Berjenama Tesco lebih murah apabila dibandingkan dengan jenama nasional,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, pandemik koronavirus (Covid-19) yang berlarutan menyebabkan pelanggan mula mengubah cara mereka berbelanja.

Katanya, ramai pelanggan yang mencari pilihan di mana mereka berasa lebih selamat untuk membeli barang keperluan.

Sementara itu, Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Sayantan Das berkata, perdagangan pantas atau q-commerce adalah e-commerce generasi seterusnya yang menyediakan penghantaran ultra cepat dengan waktu penghantaran secepat 40 minit.

"Kami kini memasuki era perdagangan pantas di samping perubahan selari dalam gaya hidup dan pilihan pengguna di seluruh dunia. Kelajuan dan kemudahan menjadi lebih penting dari sebelumnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerjasama bersama Tesco membolehkan pihaknya mengembangkan perkhidmatan untuk pelanggannya dan menawarkan kemudahan untuk keperluan mereka yang telah berubah.

"Terutama sekarang kerana orang ramai digalakkan untuk tinggal di rumah, kami sangat gembira dapat bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Tesco untuk dapat memberikan pelanggan kemudahan pesanan dengan cepat dan mudah di seluruh Malaysia," katanya.